Wani Kayrie
Wani Kayrie
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Wani Kayrie, 21, disahkan positif Covid-19 selepas mengalami demam panas, sakit kepala, batuk, selesema dan juga sakit tekak. 

Wani berkata, dia bagaimanapun bersyukur apabila deria bau dan rasa masih berada di dalam keadaan baik. 

"Setiap perkara yang berlaku ini pasti ada hikmah. Dukacita saya disahkan positif Covid-19. 

"Mohon doakan saya. Setakat ini, saya perlu menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari mengikut nasihat doktor. 

"Antara gejalanya adalah  demam panas, sakit kepala, batuk, selesema dan sakit tekak. Alhamdulillah deria bau dan rasa masih ada. Tapi, sakit dia teramat sakit. Tak tipu," katanya dalam satu hantaran terbaharu di Instagram sebentar tadi. 

Meskipun kurang sihat, Wani masih sempat mengingatkan kepada semua pengikutnya di media sosial untuk menjaga keselamatan diri dan berhati-hati. 

"Jagalah diri sebaik mungkin. Kita cuba dan ikhtiar apa yang mampu," katanya. 

Sehubungan itu, usaha Harian Metro menghubungi Wani untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai punca dia mendapat jangkitan itu tidak berjaya kerana  penyanyi lagu Jangan Terlepas Pandang ini belum membalas mesej dan panggilan.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 4:49 PM