Noki dirawat di pusat perubatan di Shah Alam.
Noki dirawat di pusat perubatan di Shah Alam.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dan anggota kumpulan K-Clique, Noki dijangkiti denggi dan kini dirawat di sebuah pusat perubatan di Shah Alam, Selangor.  

Noki berkata, denggi yang dialami menyerang organ dalaman membabitkan hati dan jantungnya.

"Maaf, saya tak larat. Kepala saya sangat pening dan mengalami muntah sekarang ini.

"Saya mula demam sejak Jumaat minggu lalu. Pagi tadi keadaan saya bertambah teruk hingga perlu menerima rawatan di hospital," katanya.

Menurut Noki, suhu badannya naik sehingga 39 darjah selsius dan bacaan platelet pula mencatatkan penurunan dari bacaan normal.

Noki menerusi satu hantaran di Instagram turut memohon doa daripada orang ramai supaya kesihatannya kembali pulih.

"Keadaan saya sekarang demam denggi tahap berbahaya. Doakan kesihatan saya. Semoga Allah lindungi kita semua daripada segala penyakit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 3:17 PM