Raja Afiq
Raja Afiq

Kuala Lumpur: "Kalau terdesak sangat, buka kedai tepi jalan pun okay. Sekarang ramai artis bisnes kecil-kecil jual minuman lebih baik dari reviu foto tak senonoh."

Itu antara komen warganet di Instagram pelakon Raja Afiq selepas memuat naik hantaran video berbaur lucah untuk satu produk di Instagram, semalam.

Tindakan Raja Afiq yang bertujuan untuk mempromosikan produk itu sebagai slot ulasan produk di Instagram mengundang pelbagai kritikan.

Tidak terkecuali, ada warganet yang menganggapnya tidak sensitif dan tidak mengambil kira dosa dan pahala apabila berbuat demikian.

"Asal hari Jumaat ada je buat orang lain berdosa. Boleh fikir baik buruk, dosa, pahala kot," komen warganet.

"Agak-agaklah reviu tu, jangan tunjuk diri sengkek sangat boleh tak? tulis warganet. 

Bagaimanapun menerusi satu portal hiburan, pelakon drama bersiri Gerak Khas Undercover itu mengakui tindakan terbabit dibuat sebagai membantu peniaga, selain menjadi pendapatan sampingan buatnya.

Menurutnya, jika dia memberikan penjelasan kepada warganet pun, mereka takkan memahaminya.

"Ikutkan saya sebenarnya dah banyak kali tolak. Tapi pihak produk itu tidak berhenti memujuk saya, tetap 'call' dan mesej saya minta juga saya buat reviu.

"Saya ini jenis tak sampai hati. Niat saya nak menolong peniaga dalam talian dan buat reviu di IG pun salah satu pendapatan saya juga. Takkan saya nak tolak rezeki. Saya dah minta video yang lebih elok tapi itu sahaja yang pihak mereka dapat berikan kepada saya," katanya seperti dipetik daripada portal itu.

Video yang dimuat naik Raja Afiq ini menampakkan hampir sebahagian payudara seorang wanita dalam keadaan yang tidak sepatutnya.

Disebabkan itu, kebanyakan warganet menganggap pendapatan yang diperolehinya adalah secara haram.

Raja Afiq bagaimanapun enggan melayan komen negatif itu kerana dia hanya melakukan kerja selepas menerima bayaran.

Dia juga mempertikaikan dakwaan warganet yang menganggap duit yang diterimanya haram kerana dia bukannya mencuri.

"Saya pun mencari rezeki untuk keluarga. Apa-apa pun, harap semua orang doa yang baik-baik sahaja," katanya.

Tinjauan Harian Metro di Instagram Raja Afiq mendapati hantaran video itu sudah dipadam.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 3:02 PM