AZMI bersama bayi sulungnya, Khairul Afnan.
AZMI bersama bayi sulungnya, Khairul Afnan.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Kegembiraan penyanyi Azmi Saat, 34, dan isterinya, Nazira Muhammad, 35, yang menimang cahaya mata pertama, Khairul Afnan pada 27 September lalu, kini diuji apabila bayi lelaki mereka disahkan kurang sihat.

Azmi menerusi hantarannya di Instagram memaklumkan perkara ini dan meminta peminat  bersama-sama mendoakan kesembuhan segera buat anaknya itu. 

"Mohon tolong doakan Afnan. Afnan tak sihat. Kami sedang diuji. Allah mudahkan urusan kami waktu proses mengandung, tapi sekarang Allah nak uji kami. 

"Allah mudahkan proses bersalin, tapi sekarang Allah nak uji kami. Allah letakkan rasa teruja dalam hati kami, tapi sekarang Allah nak uji kami.

"Itulah Allah pemilik sekalian alam. Dia yang maha merancang dan maha mengetahui segalanya.

"Mungkin ada antara kalian yang Allah makbulkan doanya. Tolong doakan moga Afnan sihat dan Allah berikan yang terbaik buat kami. Apa pun yang berlaku, kami reda dengan ketentuan takdirNya," tulisnya. 

Terdahulu pasangan ini amat gembira dengan kelahiran Afnan kerana sudah 10 tahun menanti untuk memiliki cahaya mata sendiri. 

Nazira selamat melahirkan cahaya mata pertama mereka tepat jam 9.09 pagi di sebuah pusat perubatan. 

Azmi bersyukur proses kelahiran Afnan berjalan dengan begitu lancar menerusi kaedah pembedahan.

Khairul Afnan dilahirkan dengan berat 3.3 kilogram, serta Azmi juga memenuhi hasrat isterinya untuk berada di dalam dewan pembedahan ketika proses kelahiran.

Azmi yang juga vokalis kumpulan Caliph Buskers dan Nazira mendirikan rumah tangga pada 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 12:02 PM