AZMI bersama bayi sulungnya, Khairul Afnan.
AZMI bersama bayi sulungnya, Khairul Afnan.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Bayi kepada penyanyi Azmi Saat yang dilahirkan empat hari lalu disahkan meninggal dunia, di sebuah pusat perubatan, di sini, pada petang hari ini.

Pengurus Azmi, Syah Rahman berkata bayi lelaki diberi nama Khairul Afnan itu meninggal dunia di pangkuan isterinya, Nazira Muhammad, 35.

"Selepas alat bantuan pernafasan dibuka, Azmi dan isteri diberi peluang untuk meriba anaknya sehingga Afnan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kemudian, pada jam 1.19 petang Afnan disahkan meninggal dunia. Sekarang ini pihak hospital masih lagi mencari tanah perkuburan yang berdekatan dengan rumah mereka," katanya.

Menurut Syah, malam tadi dia diberitahu, Afnan memerlukan alat bantuan pernafasan. 

"Doktor mengesyaki bahagian otak Afnan ada masalah sebab dia tidak bergerak, jadi perlu buat ujian imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) bagi memeriksa otaknya dan punca sebenar.

"Tapi puncanya, Azmi akan memberikan kenyataan sendiri. Sekarang ini, dia memohon berikan dia masa dan apabila ada kelapangan nanti, dia sendiri akan memberikan kenyataan," katanya.

Terdahulu, Azmi turut memaklumkan menerusi Instagram mengenai pemergian anak sulungnya yang dilahirkan pada 27 September lalu.

"Allah lebih menyayanginya. Afnan tunggu kami di syurga ya," katanya.

Terdahulu, menerusi hantaran lain di Instagram Azmi memaklumkan, dia dan isterinya, sedang memangku Afnan buat kali terakhir. 

"Mohon tolong doakan Afnan. Afnan tak sihat. Kami sedang diuji. Allah mudahkan urusan kami waktu proses mengandung, tapi sekarang Allah nak uji kami. 

"Allah mudahkan proses bersalin, tapi sekarang Allah nak uji kami. Allah letakkan rasa teruja dalam hati kami, tapi sekarang Allah nak uji kami.

"Itulah Allah pemilik sekalian alam. Dia yang maha merancang dan maha mengetahui segalanya. Apa pun yang berlaku, kami reda dengan ketentuan takdirNya," katanya. 

Sebelum ini, Azmi dan isterinya meluahkan perasaan gembira dengan kelahiran Afnan kerana sudah 10 tahun menanti untuk memiliki cahaya mata sendiri. 

Nazira melahirkan cahaya mata pertama mereka menerusi kaedah pembedahan di sebuah pusat perubatan, pada jam 9.09 pagi Isnin lalu. Khairul Afnan dilahirkan dengan berat 3.3 kilogram.

Azmi yang juga vokalis kumpulan Caliph Buskers dan Nazira mendirikan rumah tangga pada 2011.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 4:39 PM