SHERIE akui watak Erma dalam drama i-Tanggang - Mother of All Lies sangat bermakna buatnya.
SHERIE akui watak Erma dalam drama i-Tanggang - Mother of All Lies sangat bermakna buatnya.
Georgie Joseph


SEBAGAI pelakon yang sentiasa sarat dengan perasaan ingin tahu, Sherie Merlis mempunyai kaedah tersendiri untuk mencapai kepuasan dalam lakonannya.

Sherie, 49, mengakui dia lebih selesa apabila tidak membaca penuh sesebuah skrip setiap naskhah yang dijayakan. Alasannya, dia suka meneroka babak seterusnya hanya ketika penggambaran sebenar.

Dengan pendekatan begitu, ia umpama jalan terbaik buatnya untuk memastikan bahawa impak lakonan diberikan lebih berkesan. Dia akui kepuasan juga lebih terasa dengan kaedah itu.

"Biasanya untuk menjayakan drama, saya cuma akan baca skrip dalam lima hingga enam episod saja. Bagi saya, untuk menjayakan sesetengah watak, tidak perlu tahu jalan cerita sepenuhnya.

"Sebaliknya, biar saya dapat tahu sendiri apabila berada di set penggambaran. Bila berbuat demikian, saya akan lebih dapat menghayati emosi serta kejutan watak itu sendiri.

"Semestinya, mencabar juga apabila ada masa pasti lari fokus. Bagaimanapun, syukur permasalahan sebegitu senang saya atasi setakat ini," katanya.

Terkini tampil membintangi drama i-Tanggang - Mother of All Lies, Sherie turut menggunakan kaedah sama.

Meskipun fokus ceritanya iaitu penyakit Munchausean Syndrome by Proxy (MSBP) juga pertama kali didengarnya, dia mengakui pendekatannya jelas berbaloi.

"Memang sebelum berlakon drama itu, saya pun tak pernah dengar mengenai sindrom berkenaan. Saya ada membuat kajian serta merujuk beberapa filem seperti Hillbilly Ellegy untuk corak watak.

"Ternyata, ada saja kejutan setiap kali membuat penggambaran. Saya tidak sangka watak Erma yang obses melindungi anak agak rumit dan berlaku dalam masyarakat.

"Tapi, baguslah saya sendiri dapat menyelami lebih mendalam mengenai penyakit ini. Ia juga boleh menjadi teladan yang sangat berguna kepada penonton kelak," katanya.

Sherie turut mengakui sangat berbesar hati apabila diberikan kepercayaan membawa watak mencabar serta tidak pernah dicubanya itu. Baginya, ia petanda kepercayaan diberikan pada bakat lakonannya semakin meluas.

"Saya seronok sangat dengan watak itu. Ia bukan watak kebiasaan yang selalu saya dapat dan lebih penting jalan ceritanya membuka mata ramai.

"Sebelum ini saya kerap mendapat watak seperti wanita didera, lemah dan yang seumpamanya. Jadi, apabila mendapat watak Erma itu, bagaikan satu pencapaian yang lebih mengujakan.

"Saya memang berhajat untuk terus meraih kepercayaan bagi mencuba pelbagai watak lebih besar. Mudah-mudahan persembahan saya itu dapat membuka ramai penerbit mengenai kemampuan saya," katanya.

Dalam pada itu, Sherie turut menjelaskan bahawa dia agak menyepi sebelum ini disebabkan banyak berehat.

Selain itu, dia turut terbabit dalam penggambaran sebuah filem di Kuching, Sarawak yang menuntutnya menetap lama di sana.

"Agak lama juga saya berada di Kuching sebelum penggambarannya ditangguh berikutan pandemik sejak tahun lalu. Ketika itu, saya ng terpaksa akur tidak dapat pulang ke Kuala Lumpur.

"Apabila dapat merentas negeri, baru saya kembali ke Kuala Lumpur dan berehat saja selepas itu. Kebelakangan ini tawaran sudah kembali datang dan teruja sangat dapat aktif bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 6:50 AM