Daniel Craig
Daniel Craig
Agensi

Amerika Syarikat: Selepas tersebar khabar angin yang mengatakan pelakon, Lashana Lynch akan memegang watak sebagai penyiasat Bond wanita pertama, bintang filem James Bond, Daniel Craig meluahkan rasa tidak setujunya.

Menurutnya, wanita sepatutnya diberikan peluang lebih baik untuk memegang watak yang dicipta khas untuk dijadikan ikon.

"Jawapan saya ringkas. Ada watak lain yang lebih baik untuk wanita dan pelakon bukan kulit putih. 

"Kenapa wanita perlu memegang watak James Bond sedangkan boleh dicipta satu watak yang sama hebat dengan James Bond, tetapi untuk wanita?" katanya.

Lynch yang juga bintang filem Captain Marvel bagaimanapun menafikan spekulasi dan khabar angin itu.

"Saya rasa, mereka hanya mencari orang yang sesuai dengan Bond, orang yang dapat bersuara dan kuat untuk mengendalikan diri sendiri dan tak menghiraukan orang lain," katanya.

Penerbit, Barbara Broccoli sebelum ini juga mengesahkan bahawa tidak ada sebarang perancangan untuk mencari pelakon wanita bagi memegang watak James Bond.

"James Bond boleh dilakonkan oleh mana-mana pelakon tak kiralah berkulit putih atau tidak, tetapi dia adalah lelaki.

"Saya percaya, ia akan lebih menyeronokkan sekiranya kami mencipta satu karakter wanita yang kuat. Saya kurang berminat sekiranya pelakon wanita melakonkan watak lelaki sebab saya rasa, wanita ada satu daya tarik yang lebih baik," katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 10:12 AM