ANTARA babak dimuatkan dalam Dendam Kesuma.
ANTARA babak dimuatkan dalam Dendam Kesuma.
Ridzuan Abdul Rahman


Sebagai umat Islam, kita perlu meletakkan kepercayaan penuh dan keyakinan terhadap Allah SWT, manakala solat adalah tiang agama.

Ibu dan bapa pula memainkan peranan dan tanggungjawab penting serta utama dalam memastikan keharmonian keluarga.

Itulah intipati yang ditampilkan menerusi filem Dendam Kesuma arahan Jefri Jefrizal terbitan produksi Richplus Media Sdn Bhd.

Jefri melangkah masuk dalam bidang seni apabila membintangi filem Wirasiswi yang diterbitkan pada 2008. Antara pelakon utamanya ialah Elza Irdalynna dan ramai lagi.

Filem terbabit dicalonkan dalam kategori Filem Digital Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21.

Menurutnya, Dendam Kesuma adalah filem arahan pertamanya dan penggambaran dibuat pada September 2019 di Kuala Kangsar Perak.

"Penggambaran mengambil masa selama 20 hari. Saya sendiri melakonkan watak Hadri, manakala anak-anak saya iaitu Nazreen Putra dan Marissa Ezureen melakonkan watak Ali dan Suri, yang juga anak kepada Hadri.

"Manakala watak Kesuma pula dilakonkan oleh isteri saya sendiri, Haliza Khalili iaitu seorang bekas Tentera Udara Malaysia yang pangkalan terakhirnya di Kuantan, Pahang.

"Sementara itu, pendatang baharu dalam dunia lakonan dikenali Bella Paloma diberi kepercayaan membawakan watak Meena iaitu isteri Hadri," katanya.

Memandangkan Dendam Kesuma bertemakan kekeluargaan, Jefri membuat keputusan mengambil isteri dan anak-anaknya sendiri yang berlakon bersama.

"Saya hanya berharap filem ini dapat memberi inspirasi kepada penonton. Ia bukan filem 'pop-corn' kerana mesej yang tersirat di dalamnya amat penting dalam kehidupan kita sebagai umat Islam.

"Pembikinannya mengambil masa lebih dari setahun dan kami cuba memberikan sebuah filem berkualiti kepada penonton tempatan yang semakin matang menilai kualiti sesuatu karya seni.

JEFRI bersyukur Dendam Kesuma dapat juga menemui penonton pada November ini.
JEFRI bersyukur Dendam Kesuma dapat juga menemui penonton pada November ini.

"Bagaimanapun, tayangan filem ini sudah empat kali tertangguh. Tapi, akhirnya ia akan menjadi filem Melayu pertama ke pawagam selepas kerajaan membenarkan panggung wayang beroperasi pada minggu lepas," katanya.

Dendam Kesuma mengisahkan Hadri, yang mengalami kemurungan dan tekanan perasaan semenjak berpindah balik ke rumah ibu mentuanya, Kesuma.

Perkahwinannya dengan Meena dikurniakan dua cahaya mata, Ali dan Suri. Namun, suasana di rumah agak tertekan dan suram akibat mengalami pelbagai gangguan yang sering dihadapi oleh keluarganya.

Meena pula sentiasa menasihati Hadri supaya mendekatkan diri dengan Allah. Bagaimanapun, nasihat Meena itu sentiasa tidak diendahkan.

Suri juga mengalami gangguan di mana dia sering didekati oleh seorang nenek yang tidak dikenalinya. Justeru, kelakuan aneh Suri itu sering menimbulkan tanda tanya buat Meena.

Apapun, filem ini diklasifikasikan sebagai P13 dan akan ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 4 November, depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 6:12 AM