SEBUAH karya yang padat dengan aksi namun masih ada kekurangan boleh diperbaiki.
SEBUAH karya yang padat dengan aksi namun masih ada kekurangan boleh diperbaiki.
Syafil Syazwan Jefri


FILEM:

Black Adam

PENGARAH:

Jaume Collet-Serra

PELAKON:

Dwayne Johnson, Aldis Hodge, Noah Centineo, Sarah Shahi, Marwan Kenzari, Quintessa Swindell, Mo Amer, Bodhi Sabongui, Pierce Brosnan

PENULIS SKRIP:

Adam Sztykiel, Rory Haines, Sohrab Noshirvani

TERBITAN:

New Line Cinema, DC Films, Seven Bucks Productions, FlynnPictureCo.

ULASAN:

Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

ANTARA filem terbaharu yang 'mendarat' di pawagam tanah air adalah filem adiwira berjudul Black Adam.

Melihat dan membaca ulasan mengenai filem ini, boleh dikatakan penerimaan penonton bercampur baur di samping pelbagai bentuk kritikan daripada pengkritik filem.

Sebagai peminat dan penonton filem, saya merasakan ada beberapa perkara yang boleh disentuh mengenai filem Black Adam jika kita lihat filem ini sebagai filem yang berdiri sendiri.

Pertama adalah keberadaan The Rock atau Dwayne Johnson sebagai teraju utama yang juga adiwira dalam filem ini.

Saya tak pasti bagaimana pendapat penonton lain, tetapi bagi saya, peranannya sebagai Teth Adam menonjolkan sisi berbezanya sebagai pelakon.

Mungkin disebabkan saya sudah lali dengan lakonan dan wataknya dalam karya-karya sebelum ini yang nampak kurang dari sudut variasi.

Masih ada sedikit elemen lucu dalam watak yang dipegangnya, namun pada masa sama ada kelainan dan perbezaan.

Dari segi jalan cerita, Black Adam mengisahkan satu jalan cerita yang menurut saya, menarik.

Black Adam menunjukkan bagaimana seorang individu yang dianggap sebagai pahlawan juga memiliki sifat kemanusiaan dan ada sisi gelapnya.

ANTARA babak menarik dalam Black Adam.
ANTARA babak menarik dalam Black Adam.

Namun, kejahatan itu timbul selepas berlakunya kekejaman yang membentuk rasa dendam dalam hatinya.

Menerusi filem ini, penonton dibawa ke masa silam dan kemudian dibawa semula ke zaman sekarang dengan transisi yang menyenangkan. Ia adalah filem yang mudah difahami.

Namun, saya tidak nafikan bahawa ada sesuatu yang membuatkan saya rasa kurang berpuas hati.

Mungkin perkembangan babaknya kelihatan tergesa-gesa dan terlalu banyak perkara berlaku dalam satu masa.

Dari sudut aksi, Black Adam adalah satu karya yang padat dengan aksi di samping gambaran sebuah kota yang diwujudkan dengan sangat teliti.

Kemunculan watak-watak lain juga menguatkan lagi jalan ceritanya. Itu semua sekali gus melengkapkan filem yang mungkin masih ada kekurangan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 6:12 AM