AHMAD Fedtri. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Fedtri. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Pada mulanya ketika dihubungi pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), ingatkan sebagai pengacara majlis tapi rupanya antara penerima. Memang terkejut," kata pengacara dan penyampai radio, Ahmad Fedtri Yahya yang menerima Anugerah Khas Tokoh Kategori Pendakwah Kreatif 1443H (2021M), sempena sambutan Maal Hijrah 1443, Selasa lalu.

Fedtri, 40, berkata, penganugerahan diterima itu berdasarkan karya yang dihasilkan melalui program TV, lirik lagu, buku dan sebagainya.

Malah, Fedtri yang mengendalikan segmen Ilham Sanubari di stesen radio Buletin FM menganggap istilah pendakwah yang diberikan kepadanya lebih kepada perkongsian ilmu yang disampaikan.

"Apabila sebut mengenai pendakwah orang ingat macam ustaz. Itu yang risau juga. Tapi saya dimaklumkan pendakwah ini adalah semua orang, tak kira siapa.

"Malah pendekatan digunakan dalam menyampaikan dakwah juga ada cara tersendiri dalam hebahkan kebaikan. Jadi saya fokus pada program TV, radio, lirik lagu dan buku yang ditulis selain kreativiti di laman sosial," katanya.

Menurut Fedtri, anugerah diterima itu juga atas kerjasama pasukan yang hebat dalam menghasilkan setiap program dan karya.

"Terkejut sangat dan pada masa sama bersyukur atas penghargaan ini. Kejayaan ini sebenarnya atas kerjasama pasukan yang hebat di Media Prima Berhad dalam menghasilkan karya indah seperti Jejak Rasul. Juga buat pasukan hebat dalam menghasilkan lagu- lagu berjiwa besar.

"Tidak lupa pasukan yang berjuang untuk menghasilkan buku-buku bermakna. Biar kecil tetapi istiqamah insya-Allah. Terima kasih rakan sekerja, sahabat- sahabat sejati dan penyokong yang sentiasa memberi kata semangat. Istimewa buat keluarga, isteri dan anak-anak tercinta yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan inspirasi," katanya.

Anugerah yang diterima itu juga adalah bagi mengiktirafkan sumbangannya yang aktif dalam menyampaikan mesej berunsur dakwah di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

Ia termasuklah sumbangan Ahmad Fedtri berkongsi ilmu ketika menjadi pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), Jejak Rasul, Madrasah, Dari Masjid Ke Masjid, Sahabat Backpackers, Sebalik Malam dan Soal Rakyat dan banyak lagi. Malah, dia juga pernah dilantik sebagai duta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Syria.

Antara buku yang pernah dihasilkan oleh Fedtri Yahya seperti Kezaliman Cinta, Mahkota Kiasan, Haruman Puisi Cinta & Coconut Shake Satu dan Pantun Penyeri Pengantin.

Selain itu, Fedtri juga pernah dinobatkan sebagai lirik lagu terbaik seperti Mikraj Cinta, Kasih Padamu dan Pahlawan Zafana dan terbaharu Coretan Pilu yang menjadi lagu runut bunyi drama Ayahanda di TV3. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 11:07 AM