GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) memohon pertimbangan kerajaan untuk membenarkan pembukaan semula pawagam kepada rakyat yang sudah lengkap menerima vaksin.

Ia berikutan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pertimbangan kelonggaran untuk aktiviti sukan, sosial, dan makan di luar kepada mereka yang sudah divaksin sepenuhnya, baru-baru ini.

Menurut pengerusinya, Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth, sektor panggung wayang sendiri adalah industri yang paling mematuhi prosedur operasi standard (SOP) layak menerima kelonggaran itu.

Tidak ketinggalan, pembukaan semula pawagam kini dilihat lebih penting untuk dijadikan tempat rehat minda. Ia susulan, pelbagai kes membabitkan kemerosotan kesihatan mental menimpa rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Oleh kerana kerajaan sedang mempertimbangkan kembali pembukaan sektor terpilih bagi mereka yang divaksin sepenuhnya, industri pawagam memohon untuk menjadi sebahagian daripada penerima kelonggaran dan hak istimewa terbabit.

"SOP kami adalah antara yang paling ketat. Kami tidak membenarkan penonton berlegar-legar dalam pawagam, pemakaian pelitup muka 100 peratus sepanjang masa, dan penjarakan tempat duduk penonton.

"Peraturan baharu iaitu hanya membenarkan penonton yang sudah menerima vaksinasi penuh, kami yakin pawagam akan menjadi tempat selamat untuk mencari ketenangan. Ia sangat penting untuk pemulihan kesihatan mental rakyat di negara kita," katanya.

Walaupun menjadi sektor dengan SOP paling ketat, perniagaan pawagam sering menjadi sektor perniagaan pertama ditutup dan paling terakhir dibenarkan beroperasi semula.

Pengusaha pawagam terpaksa akur dengan menutup pawagam meskipun tidak pernah berlaku kes jangkitan di sektor itu. Sejak awal tahun, pawagam seluruh Malaysia sudah ditutup selama lebih 150 hari.

Penutupan itu mengakibatkan kerugian besar dengan perbezaan cukup ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya. Secara kolektif, sektor itu menyumbang lebih RM1.08 bilion pendapatan dan lebih RM250 juta cukai hiburan kepada negara.

Penutupan tanpa relanya melumpuhkan industri serta memberi kesan kepada lebih 20,000 tenaga kerjanya. Penutupan berpanjangan tahun lalu juga menyaksikan pengunduran jenama wayang ketiga terbesar negara ini, MBO Cinemas.

 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 1:24 PM