NOR Shahila
NOR Shahila
Najiy Jefri

Petaling Jaya: Tranformasi yang dilakukan TV3 membabitkan tiga pengacara program Melodi, Muzik-Muzik dan Nona dilihat mampu memberi nafas baharu kepada penonton setia stesen TV popular itu.

Tiga program utama TV3 itu bakal dihoskan selebriti terkenal tanah air iaitu Nabila Huda (Melodi), Amyra Rosli (Nona) dan Sissy Imann (Muzik-Muzik) bermula 1 Ogos ini.

Pengurus Besar Kanan, Program Penerbitan Dalaman, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Nor Shahila Harun Shah berkata, pertukaran mengejut yang berlaku tidak hanya tertumpu kepada tiga program terbabit semata-mata, sebaliknya membabitkan beberapa saluran di bawah pengurusan Media Prima Berhad (MPB).

"Perubahan ini membabitkan perancangan stesen TV yang turut dilaksanakan di beberapa platform lain termasuk radio dan digital.

"Melihat kepada pandemik Covid-19 yang memberi banyak cabaran, maka pihak pengurusan terpaksa melakukan beberapa rombakan sekali gus perubahan ini dapat kita saksikan.

"Pertukaran ini bukan saja membabitkan wajah di depan kamera, malah kakitangan belakang tabir turut diubah untuk memantapkan lagi kandungan sedia ada.

"Norma baharu yang perlu dilakukan bukan hanya kepada Covid-19 semata-mata, tapi perubahan cara budaya bekerja juga perlu dilaksanakan. Disebabkan itu, pertukaran ini perlu dibuat dalam waktu yang cepat," katanya dalam satu sidang media secara maya, semalam.

Menurut Shahila, pemilihan ketiga-tiga selebriti itu dibuat selepas mengambil kira kredibiliti dan kemampuan mereka beraksi di TV.

"Sebenarnya banyak pembaharuan yang ingin kami bawakan, tapi kekangan yang kami hadapi akibat penularan Covid-19 memberi banyak cabaran.

"Jadi apa kelainan yang mampu kami berikan adalah menampilkan muka-muka hebat. Malah nama-nama pengacara baharu yang diumumkan ini pun muncul pada saat-saat akhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 3:25 PM