Nur Syahira bersama bapanya, Man Kidal dan ibu, Norlaila.
Nur Syahira bersama bapanya, Man Kidal dan ibu, Norlaila.
Oleh Najiy Jefri


Kuala Lumpur : "Memang sudah ada yang hubungi dan pertikai kenapa kami adik-beradik tak tolong mama dan papa," kata anak bongsu kepada pemain gitar legenda, Man Kidal iaitu Nur Syahira Rahman mengenai kesempitan hidup yang terpaksa ditanggung ibu bapanya akibat tiada punca pendapatan sejak dua tahun lalu.

Nur Syahira berkata, mereka tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa, malah sentiasa berusaha untuk membantu meringankan beban mereka.

"Takkan kami nak biarkan mama dan papa hidup dalam kesusahan. Kalaulah ada duit yang banyak memang kami tidak akan sesekali biarkan mereka minta bantuan.

"Selama ini pun mereka tak pernah minta sebarang pertolongan daripada sesiapa. Kami sesama sendiri ikhtiar cari duit, cuma sekarang ini masing-masing tengah susah dan tidak boleh buat apa-apa.

"Kami adik-beradik ada cuba bantu apa yang termampu dengan kumpul duit dan kirimkan kepada mereka. Namun, jumlahnya tidaklah besar kerana perniagaan masing-masing pun tengah susah sekarang," katanya. Menurut Nur Syahira, orang luar tidak sepatutnya menghukum sebaliknya perlu memahami situasi yang ditanggung mereka sekeluarga.

"Perniagaan saya serta adik-beradik lain sedang mengalami kesukaran. Saya ada menjalankan perniagaan percetakan tapi terpaksa hentikan operasi seketika kerana kilang ditutup. Saya juga ada tolong mama berniaga kuih tapi dalam keadaan dirinya yang positif Covid-19 serta keadaan kesihatan yang kurang sihat, saya tak sampai hati nak biarkan dia bekerja.

"Saya mohon orang luar jangan pertikai atau mengatakan kami adik-beradik tidak membantu mama dan papa. Kami sudah berusaha sehabis baik untuk membantu mereka," katanya.

Terdahulu ibu kepada Nur Syahira iaitu Norlaila Yusof mendedahkan dirinya dan suami berdepan kesempitan hidup sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Mac tahun lalu.

Dia juga disahkan positif Covid-19 sejak minggu lalu, manakala suaminya Isnin lalu.

Selain Nur Syahira, Norlaila dan Man Kidal mempunyai dua lagi anak lelaki dan perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 3:09 PM