FIZO membantu orang ramai ketika menjadi sukarelawan.
FIZO membantu orang ramai ketika menjadi sukarelawan.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 yang melanda negara lebih setahun lalu masih belum berpenghujung.

Namun, kini giat dilakukan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) buat rakyat Malaysia.

Banyak pusat pemberian vaksin (PPV) disediakan untuk memberi peluang rakyat mendapatkan suntikan vaksin percuma. Malah, tenaga kerja sukarelawan juga diperlukan.

Menyedari tanggungjawab sosial diperlukan petugas barisan hadapan yang kekurangan tenaga kerja kerana masih berjuang menentang Covid-19, ramai dalam kalangan selebriti tanah air mengambil inisiatif menjadi sularelawan di PPV sejak Jun lalu hingga hari ini.

Bukan saja di PPV, ada antara mereka menjadi sukarelawan di Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Klinik Kesihatan dan juga petugas yang membantu menguruskan jenazah Covid-19.

Antara yang terbabit ialah Isma Yusoof, Aniq Suhair, Nurul Deep, Sherry Alhadad, Nazim Othman, Hafreez Adam, Mimi Lana, Daiyan Trisha, Amelia Handerson, Fizo Omar, Puteri Aishah dan ramai lagi.

Walaupun ikhlas membantu orang ramai namun mereka turut berdepan kecaman daripada segelintir netizen di media sosial.

Mereka mendakwa kehadiran selebriti terbabit ke PPV hanya lebih untuk bergambar dengan peminat, bersosial dan pulang awal selepas 15 minit bertugas sebagai sukarelawan.

Malah, ada yang didakwa hadir dengan pakaian kurang sesuai.

Pelakon dan usahawan, Fizo Omar, 36, ketika diminta mengulas dakwaan netizen berkata, orang yang berfikiran negatif akan tetap berfikir negatif.

Namun, bagi mereka yang positif semestinya sudut pandang itu berbeza dan beranggapan ia tindakan bagus sebab selebriti buat kesedaran.

"Apapun, bergantung pada penerimaan masing-masing. Saya tak ambil peduli kritikan atau kecaman netizen yang cuba menjatuhkan semangat. Pada saya, tidak perlu cari kesilapan selebriti.

"Setiap selebriti ada peminat mengikuti di media sosial. Jadi, dengan pengaruh pengikut yang ramai seperti di Instagaram, saya yakin dapat membantu kesedaran mengenai keutamaan vaksinasi ini," katanya.

Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar antara selebriti terawal menjadi sukarelawan di PPV Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada Jun lalu.

Fizo menyifatkan pembabitan golongan selebriti sebagai sukarelawan membantu petugas barisan hadapan termasuk menyuntik kesedaran pada masyarakat terhadap pentingnya vaksin.

"Alhamdulillah, saya bersyukur mendapat tahu kini ramai selebriti berminat membabitkan diri sebagai sukarelawan di PPV. Bagi saya, ia perkara yang baik dan wajar disokong bagi membantu kesedaran pada masyarakat untuk ambil vaksin.

"Saya gembira dapat memberi sumbangan kecil ini kepada masyarakat. Pada masa sama, saya dapat pengalaman dan banyak ilmu baharu mengenai vaksin," katanya.

Katanya, objektif utama kehadiran selebriti sebagai sukarelawan juga bertujuan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi kesedaran vaksin.

"Kita nak tunjukkan bagaimana pengendalian vaksin dan menggalakkan juga orang awam yang lain menjadi sukarelawan di PPV," katanya.

Fizo berharap pembabitan selebriti sebagai sukarelawan lebih dipandang positif oleh netizen.

Katanya, aktiviti sukarelawan oleh selebriti umpama khidmat masyarakat.

'Cukuplah saya tahu niat saya'

"Saya selalu utamakan kerja dulu dan akan menolak sekiranya ada individu mahu bergambar selagi urusan kerja belum selesai."

Demikian kata pelakon Amelia Henderson, 26, berhubung pembabitannya sebagai sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi pada Jun lalu.

Amelia berkata, dia komited dengan tugas sebagai sukarelawan, tapi jika ada kelapangan masa di PPV itu seperti ketika berehat makan tengah hari, tiada masalah baginya melayan permintaan orang awam yang menyedari kehadirannya ketika itu.

"Niat saya ikhlas nak jadi sukarelawan. Jadi, saya kena pastikan buat kerja dengan betul ketika itu dan bukan seorang selebriti. Lagipun, saya menjadi sukarelawan bukan untuk dapat perhatian netizen atau nak tunjuk kebaikan saya depan mereka (netizen), tapi saya buat memang sebab ikhlas nak bantu

"Pada saya netizen ada hak mereka beri komen masing-masing. Tapi, untuk kerja sukarelawan saya cukuplah saya tahu niat saya dan Tuhan tahu niat saya ketika bertugas di PPV itu," katanya.

AMELIA Henderson. FOTO IG ameliath
AMELIA Henderson. FOTO IG ameliath

Menurut Amelia, dia sebenarnya tidak terlalu ambil tahu sangat mengenai komen- komen berbaur negatif netizen di media sosial kerana sudah menetapkan pada diri atas niat apa dia jadi sukarelawan.

Bercerita mengenai pengalamannya, Amelia berkata, dia mendapat banyak kenangan menarik dan kehadirannya diterima baik semua sukarelawan di PPV UKM.

Katanya, dia mendapat bantuan petugas lain untuk apa saja perkara yang tidak fahami, termasuk diberi latihan awal.

"Cabaran dalam kerja tetap ada dan tak boleh dielak. Untuk saya, biasanya apabila nak urus kalau orang datang ambil vaksin pada satu-satu masa itu agak ramai dan saya kena cepat buat kerja bagi memastikan mereka yang datang itu dapat ambil vaksin.

"Namun yang pasti pembabitan sebagai sukarelawan atas kerelaan sendiri dan ada kelapangan masa sesuai. Ditambah, ada rakan yang mengajak, jadi sebagai individu sudah divaksin sepenuhnya saya rasa patut untuk buat apa saja yang boleh membantu beri kesedaran masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 12:30 PM