Caprice. Gambar kanan, Sharnaaz.
Caprice. Gambar kanan, Sharnaaz.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelakon Sharnaaz Ahmad menegur sikap penyanyi dan aktivis, Caprice supaya tidak bertindak seperti kebudak-budakan apabila didakwa mempunyai konflik dengan Ustaz Ebit Lew (UEL). 

Sharnaaz berkata, dia berharap Caprice tidak terlalu menghebohkan masalah yang dihadapinya kepada umum sebaliknya, cari solusi terbaik untuk meredakan keadaan. 

"Masyarakat sangat mengagumi anda, malah di Gaza pun sudah ada yang mengenali kamu. Malah, banyak negara Islam tahu yang kamu berjuang untuk rakyat di Palestin. 

"Lebih baik selesaikan masalah ini mengikut protokol. Jangan jadi perangai budak-budak dan bergaduh sesama orang Islam. Anda patut tahu yang kamu mewakili Malaysia dan negara Islam. 

"Saya sangat menyayangi anda sebagai rakan dan saya harap kamu berfikir panjang. Apa yang anda nak dedah teruskan dan tak perlu tunggu 21 Julai ini. Tapi, apa yang boleh diselesai secara rahsia selesaikan dulu," katanya ketika menyertai sesi Instagram Live bersama Caprice, kelmarin.   

Menurut Sharnaaz, dia tidak bersetuju dengan tindakan Caprice yang memuat naik gambar dan hantaran di Instagramnya kerana akan merumitkan lagi keadaan. 

"Bagi saya perkara ini boleh diselesaikan secara baik daripada anda merumitkan lagi keadaan dan cetus kekecohan. Sudahlah Malaysia penuh dengan masalah yang belum selesai. 

"Saya harap kalian selesaikan secepat mungkin. Kalau nak saya bagi komen mengenai apa yang berlaku, saya tak tahu hujung pangkal. Jadi, saya tak boleh nak menghakimi sesiapa pun. 

"Cuma, apapun yang anda lakukan tolong respek orang yang ada di Malaysia serta nama yang anda bawa kerana kamu ke sana turut membawa nama negara ini," katanya. 

Teguran demi teguran yang dibuat Sharnaaz disambut baik oleh Caprice ketika siaran langsung yang mendapat lebih 200,000 tontonan itu. 

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Sharnaaz kerana sudi bersama saya dalam siaran langsung ini. Jujur, saya agak tertekan dalam tempoh dua minggu ini selepas mengetahui apa yang berlaku," kata Caprice.

Sharnaaz turut menitipkan pesanan kepada Caprice yang kini berada di Kaherah, Mesir supaya tidak mencipta sebarang kontroversi atau melakukan perkara yang memberi impak negatif. 

Sejak beberapa hari lalu, nama Caprice menjadi bualan hangat netizen selepas dia mendedahkan situasi yang berlaku di Gaza.

Malah, dia turut memaklumkan UEL menyekatnya di Instagram serta memberi bayangan bahawa pendakwah itu antara punca dia masih tidak dibenarkan memasuki Gaza sehingga kini.

Terdahulu, Caprice berkongsi dia pergi seorang diri ke Mesir untuk melaksanakan misi kemanusiaan di Gaza yang sudah lama diimpikannya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 8:30 PM