Fasha Sandha cari abang 'rider' bawa makanan kucing.
Fasha Sandha cari abang 'rider' bawa makanan kucing.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Fasha Sandha meluahkan rasa terharu dan kagum dengan keperibadian seorang penghantar makanan yang bekerja sambil membawa makanan kucing untuk diberikan kepada kucing jalanan.

Fasha dalam hantarannya di Instagram, memuat naik gambar lelaki itu dan mengakui tersentuh dengan sikap murni lelaki berkenaan.

"Maafkan saya abang Food Panda. Saya ambil gambar ini curi-curi sebab saya terlalu kagum dengan abang yang keluar seawal pagi selepas Subuh untuk mencari rezeki dan membawa bekalan untuk diberikan kepada kucing di bakul hadapan.

"Kerana saya pencinta kucing, saya jadi macam beremosi sedikit. Saya sempat melambai tangan kepada abang ini," tulisnya.

Fasha juga mendoakan agar lelaki itu dimurahkan rezeki dan ingin mencari lelaki berkenaan.

"Saya doakan agar abang dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan. Siapa yang kenal abang ini, tolong DM (mesej) saya. Saya ada perasan nombor plat saja, 5513," tulisnya.

Hantarannya itu juga menarik perhatian pengikut dan sahabat-sahabatnya seperti pelakon Nur Fazura yang turut sama mendoakan kesejahteraan lelaki itu.

"Semoga abang ini sentiasa dipermudahkan segala urusan, diberkati dan dilimpah kurniaan rezeki yang tak putus-putus.. Insya-Allah. Mudah-mudahan. Amin," tulisnya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 5:24 PM