Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Ni (Nia Ramadhani), aku akan ada di sini jika kamu memerlukan bantuan, cinta, dan hati untuk mendengarkan dan menjadi sahabatmu," kata pelakon Marshanda juga rakan baik pelakon Nia Ramadhani yang kini ditahan akibat penyalahgunaan dadah jenis syabu.

Marshanda menerusi hantaran di Instagram berkata, Nia adalah sahabat yang selalu ada bersama, terutama ketika dirinya mempunyai masalah. Malah Marshanda yakin jika Nia mampu menghadapi dugaan yang menimpa itu.

"Kamu selalu ada untukku di saat-saat sukarku. Aku tahu kamu diberikan dugaan ini kerana Tuhan tahu kamu boleh melaluinya.

"Kamu boleh baik-baik saja, dan menjadi lebih kuat untuk dirimu sendiri, keluargamu, dan rakan-rakanmu yang ambil berat padamu," katanya.

Sementara itu, seorang lagi rakan baik Nia iaitu Jessica Iskandar turut berkongsi kesedihan atas apa yang menimpa Nia.

Jessica dalam satu sesi siaran langsung mengakui terkejut dan tidak menjangka Nia terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.

"Secara peribadi sangat sedih, semoga Nia dan suami dan juga keluarga mendapatkan jalan terbaik untuk semuanya. Aku turut mendoakan agar masalahnya cepat selesai," katanya.

Terdahulu, Nia dan suami, Ardi Bakrie ditahan kerana didakwa mengambil dadah sejak lima bulan lalu dan sabit kesalahan bakal berdepan hukuman penjara empat tahun.

Pasangan terbabit dituduh atas fasal 127 Undang-Undang No 35 Tahun 2009 berkenaan penyalahgunaan dadah dan hukuman empat tahun penjara.

Berdasarkan ujian air kencing, pasangan suami isteri itu positif dadah jenis syabu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 9:24 AM