GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli, menyuarakan rasa tidak puas hati ahli susulan Prosedur Operasi Standard (SOP) penggambaran yang hanya boleh dijalankan dalam studio rasmi yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Jurey berkata, ahli turut meminta persatuan merayu kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk membenarkan mereka meneruskan penggambaran di lokasi tertutup.

"Tidak banyak naskhah yang diusahakan sekarang yang dikendalikan dalam studio. Kebiasaannya penggambaran dalam studio hanya membabitkan produksi sitkom, program bual bicara dan sebagainya.

"Bagi penggambaran drama dan filem, memang sukar. Lebih menyulitkan, kami tidak boleh mengubah jalan cerita kerana sudah terikat dengan stesen TV.

"Jadi, biarpun sudah memiliki Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas), syarikat produksi terpaksa menghentikan penggambaran," katanya.

Jurey berkata, banyak syarikat produksi menghubungi dan meminta agar rayuan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membolehkan aktiviti penggambaran dikendalikan di kawasan tertutup.

"Di Malaysia tidak banyak studio yang mematuhi syarat ditetapkan FINAS. Bagaimanapun, saya menasihatkan ahli, dalam keadaan yang meruncing sekarang, kita perlu lebih sayangkan nyawa daripada memikirkan mengenai kerja yang tidak siap ini," katanya.

Menurut Jurey, PTVM berpendirian langkah menghentikan sementara penggambaran adalah lebih baik daripada melihat lebih ramai penggiat industri jatuh sakit akibat penularan COVID-19.

"Kita tidak mahu jadi punca merebaknya Covid-19 hingga muncul kluster dalam kalangan penggiat seni.

"Apatah lagi sekarang kita lihat ramai penggiat industri seperti pelakon yang disahkan positif COVID-19," katanya.

Terdahulu, Finas mengumumkan aktiviti rakaman bagi penggambaran filem, drama, dokumentari, animasi, produksi muzik dan seumpamanya dibenarkan bagi rakaman dalaman di studio rasmi yang berdaftar dengan PBT dan SSM.

Antara contoh studio rasmi yang dibenarkan adalah studio milik perbadanan itu, Studio Iskandar Malaysia, Studio Jelas Juta dan sebagainya.

Aktiviti penggambaran dibenar dilakukan antara jam 8 pagi hingga 8 malam.

Selain itu, Finas menetapkan aktiviti penggambaran dikendalikan kru minimum tanpa penonton serta perlu membuat permohonan SPP Khas dan tertakluk kepada pematuhan SOP Industri Kreatif yang ditetapkan MKN.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 1:22 PM