Pelakon Korea Selatan, Youn Yuh-jung bersama trofi Oscar yang dimenangi semalam.
Pelakon Korea Selatan, Youn Yuh-jung bersama trofi Oscar yang dimenangi semalam.
Agensi

Los Angeles: Anugerah Academy ke-93 atau Oscars 2021 yang berlangsung semalam mencatat jumlah tontonan paling rendah sepanjang penganjurannya iaitu 9.8 juta penonton saja.

Kajian oleh Nielsen mendapati penurunan jatuh mendadak sebanyak 58 peratus berbanding tahun lalu yang mencatatkan 23.6 juta tontonan.

Penurunan itu menyusul selepas acara besar seperti Grammy Awards, Golden Globes dan SAG Awards yang turut mengalami pengurangan tontonan lebih 50 peratus.

Berdasarkan statistik Nielsen, siri NCIS mendapat tontonan lebih tinggi berbanding anugerah berprestij itu di mana NCIS merekodkan jumlah tontonan 10.2 juta setakat bulan ini.

Oscars 2021 berlangsung di Dolby Theatre, di sini, dalam norma baharu dan hanya dihadiri sedikit penonton.

Ia sepatutnya berlangsung pada Februari lalu, namun ditunda berikutan penularan Covid-19.

Disebabkan penutupan panggung wayang, banyak penayangan filem pecah panggung terpaksa ditunda. Ia turut membabitkan beberapa filem yang bertanding dalam anugerah berkenaan.

Pada acara itu, filem Nomadland arahan Chloe Zhao menang besar apabila dinobatkan Filem Terbaik. Ia turut memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi Frances McDromant dan Pengarah Terbaik (Zhao).

Kemenangan itu turut mengangkat Zhao menjadi wanita Asia-Amerika pertama melakar sejarah memenangi Oscar.

Tahun lalu, filem Parasite arahan Bong Joon-ho dari Korea Selatan melakar sejarah menjadi filem Asia pertama menang kategori Filem Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 11:56 AM