Julia Farhana.
Julia Farhana.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Julia Farhana menafikan dia mencipta gimik mengenai perkahwinan apabila memuat naik fotonya di Instagram yang dianggap sebagai bayangan bahawa dia akan mendirikan rumah tangga.

Julia berkata, ramai selebriti melakukan gimik berkaitan perkahwinan sekali gus membuatkan ramai yang salah faham.

"Saya rasa tak perlu jelaskan apa-apa kerana ia foto yang cantik sekali gus sesuai untuk dimuat naik. Saya juga ada 'tag' nama jenama barang kemas yang bekerjasama dengan saya.

"Saya tahu, ramai selebriti yang melakukan gimik berkaitan dengan perkahwinan. Jadi, mungkin ini membuatkan ramai netizen yang menganggap saya juga melakukan gimik sedemikian," katanya kepada Harian Metro.

Foto yang dimuat naik Julia itu menunjukkan dia bersama seorang lelaki yang membelakangkan kamera. "Lelaki itu adalah rakan saya iaitu Fadlan Hazim yang juga pelakon dalam video muzik single duet saya bersama Awi Rafael berjudul Jangan Lupakan Aku.

"Itu adalah gambar yang diambil ketika kami menjalani penggambaran video muzik itu di Langkawi dan saya juga memakai barangan kemas daripada jenama itu," katanya.

Ini adalah single pertama Julia dan dihasilkan oleh rakan duetnya, Awi Rafael.

Video muzik Jangan Lupakan Aku adalah video muzik mewah menggunakan pelbagai barangan kemas dengan nilai keseluruhan RM6 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 8:34 PM