SUBCULTURE (dari kiri) Kabin, Azreen dan Meor.
SUBCULTURE (dari kiri) Kabin, Azreen dan Meor.
Ridzuan Abdul Rahman


MEMASUKI usia hampir tiga dekad dalam industri muzik, kumpulan Subculture yang ditubuhkan pada 1992 terus gagah melangkah dengan single terbaharu bertajuk Metalhead Girl yang bakal dilancarkan bersama lirik video rasmi, April ini.

Mereka akan tampil dengan lagu ciptaan pemain gitar dan penyanyinya, Azreen serta susunan muzik oleh anggota Subculture sendiri iaitu Kabin (bass) dan Meor (dram).

Rakaman dibuat di Greenhouse Studio, Kuala Lumpur dengan menggunakan dana mereka di bawah label sendiri iaitu Fun Friends Entertainment.

Azreen berkata, Metalhead Girl menjadi langkah awal Subculture untuk mengumumkan 'comeback' mereka yang sudah agak lama menyepi.

"Single ini masih mengekalkan 'trademark' Subculture yang sememangnya diketahui peminat sejak dulu. Lebih banyak perancangan dan projek akan dijalankan selepas ini di mana semuanya menjurus ke arah sambutan 30 tahun kami tahun depan.

"Antara projek yang dirancang ialah mengeluarkan sebuah buku biografi dan video dokumentari mengenai perjalanan kumpulan ini sejak hari pertama penubuhan," katanya.

Menurutnya, Metalhead Girl ini juga ditujukan khas untuk peminat-peminat Subculture yang terus setia menyokong mereka selama ini.

"Selain peminat sedia ada, kami berharap single ini juga dapat menarik perhatian kelompok peminat yang lebih muda dan juga menembusi kelompok media perdana.

"Lagu yang berentak 'catchy' dan moden tetapi tetap mengekalkan identiti punk rock Subculture yang mudah diterima peminat," katanya.

Kabin dan Meor mula bersama Azreen menerusi album 365 Days of Punk Rock pada 2013.

Mereka juga terbabit dengan single selepas itu termasuk dalam album keempat Subculture.

"Selepas album keempat dikeluarkan, kami banyak terbabit dengan persembahan dan promosi bergerak di pelbagai lokasi.

"Namun, selepas itu saya berehat seketika kerana terikat dengan pelbagai urusan terutama berkaitan kerja. Kami berharap Metalhead Girl dapat membantu Subculture kekal relevan dalam industri muzik negara ini," katanya.

Walaupun aktif bermain muzik, mereka tetap mempunyai komitmen dalam hidup masing-masing.

Azreen kini menguruskan perniagaan kuetiau di Tapak KLCC, Kabin pula pengurus di sebuah syarikat kenderaan terkenal di Malaysia, manakala Meor kekal dengan kerjayanya sebagai guru alat muzik dram.

Maklumat lanjut mengenai kumpulan ini boleh didapati menerusi Instagram dan Facebook subculturemalaysia

.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 6:23 AM