JUREY (kiri) bersalaman dengan Zed pada majlis berkenaan.
JUREY (kiri) bersalaman dengan Zed pada majlis berkenaan.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Perancangan memberi pengiktirafan kepada penggiat industri seni kreatif terutama pelakon menerusi proses pentauliahan berdasarkan kriteria dan tahap tertentu dalam Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) sudah lama dibincangkan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Sekian lama tertangguh, ia dilaksanakan dengan termeterainya Memorandum Persefahaman CCIG dan Seniman yang berlangsung di Kafe Skrin, Hulu Kelang kelmarin.

CCIG diwakili Pengerusinya, Jurey Latiff Rosli, manakala Seniman pula presidennya, Zed Zaidi. Turut hadir Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia(Finas), Datuk Yusof Haslam.

CCIG sebuah badan yang disokong sepenuhnya kerajaan dan diselia Finas.

Jurey berkata, peranan CCIG untuk meningkatkan profesionalisme modal insan industri kreatif dan bertindak sebagai badan akreditasi tunggal untuk pengamal menilai tahap profesional kerja mereka.

“Hanya CCIG diberikan mandat oleh kerajaan dalam mengeluarkan tauliah kepada mereka yang layak. Justeru, kami berhasrat membuka peluang kepada semua pihak bagi memastikan lebih banyak ahli ditauliahkan mengikut kriteria ditetapkan.

“Penyertaan dibuka kepada warganegara berumur 18 tahun ke atas dan bergiat aktif dalam industri kreatif tanah air. Dengan menyertai CCIG, mereka dapat meningkatkan profesionalisme dan dapat mengangkat nilai diri.

“Data mereka dikumpul, manakala sumbangan mereka terhadap industri seni kreatif dinilai sebelum layak melalui proses pertauliahan. Profil mereka bakal dipaparkan pada laman portal CCIG untuk menarik minat pelabur serta produksi tempatan dan antarabangsa,” katanya pada sidang media itu.

Seniman pula bertindak sebagai pemantau kerana setiap pelakon yang berhasrat menyertai CCIG perlu menjadi ahli persatuan itu.

“Bilangan pelakon yang menyertai CCIG masih kurang dan kami perlu mengadakan promosi bagi menarik mereka kerana banyak faedah yang bakal diperoleh nanti. Pelakon perlu jadi ahli Seniman, manakala pekerja belakang tabir produksi mestilah ahli Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima).

“Seniman bertanggung­jawab menjaga kebajikan ahli manakala CCIG berada di atas landasan profesional. Kelebihan CCIG ialah bertindak menilai ahli dalam skop kerja mereka yang lebih spesifik mengikut tahap antarabangsa.

“Kurang kesedaran membuatkan CCIG dipandang sebelah mata sedangkan penggiat industri seni kreatif perlu menyertai CCIG dan mendapatkan sijil serta kad tauliah,” katanya.

Tambah Jurey lagi, hanya CCIG dilihat melakukan kerja mereka sedangkan banyak persatuan lain mengambil yuran tanpa melakukan sebarang aktiviti.

“Untuk mendapatkan pentauliahan, ahli perlu menepati empat kriteria iaitu pengalaman, skil, sumbangan dan pencapaian dalam bidang seni.

“Mereka boleh menggunakan sijil dan kad dikeluarkan CCIG untuk menjadi penceramah, pensyarah bebas atau bekerja dengan produksi antarabangsa kerana sudah diiktiraf,” katanya.

Sehingga kini, daripada 6,244 ahli yang berdaftar dengan CCIG, 346 daripadanya ditauliahkan mengikut bidang pengkhususan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 5:21 AM