AREEL Abu Bakar. FOTO Eizairi Shamsudin
AREEL Abu Bakar. FOTO Eizairi Shamsudin
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pengarah filem Walid, Areel Abu Bakar, memilih untuk bergerak sebagai 'fakir' dalam membikin filem, daripada mengorbankan misi dan visinya sebagai pengarah.

Areel, 37, ketika ditemui di Malam Gala Tayangan Filem Walid berkata, dia yang mengeluarkan dana sendiri untuk menghasilkan filem aksi itu terbuka untuk berkolaborasi dengan pelabur sekiranya mereka bersetuju untuk mengikuti hala tujunya.

"Fakir maksudnya kerdil, kecil, sendiri dan berdikari. Ini adalah filem kedua saya dan filem ini juga adalah filem yang kosnya ditanggung sendiri. Mungkin untuk filem ketiga akan datang, akan ada perubahan.

"Saya masih mencari rakan yang mempunyai misi sama, tanpa menolak atau membuang sasaran saya untuk sesuatu filem. Dalam kata lain, kalau ada pihak yang berjiwa besar nak berkolaborasi, mereka masih kena ikut apa yang sudah saya susunkan.

"Maksudnya, saya tak berkompromi dari sudut struktur skrip, artis-artis yang saya pilih untuk jalankan dan sebagainya," katanya.

Tambah Areel, dia pernah ditawarkan oleh pelabur yang ingin melabur dalam pembikinan filemnya, namun, kebanyakan daripada mereka punya niat lain.

"Kalau datanglah jutaan atau berpuluh juta (perbelanjaan), tapi, saya perlu korbankan apa yang saya jalankan sekarang, saya takkan terima apa-apa. Biarlah fakir, tapi perjalanan itu selesa.

"Ada juga syarikat yang mahu saya korbankan kemahuan saya dan masih dalam perbincangan. Ada juga pelabur-pelabur lain yang kononnya berminat, tetapi, mereka cuma mahu memanipulasi orang seperti kami. "Kalau dia bagi jumlah tertentu untuk ubah hala tuju filem dan keutamaannya adalah pelaburan dan keuntungan, saya tak boleh terima," katanya.

Ditanya sama ada dia memohon Dana Kandungan Digital (DKD) untuk menghasilkan filem Walid ini, Areel berkata, permohonannya gagal kerana ada beberapa perkara yang tidak memenuhi prosedur.

"Untuk filem ketiga selepas ini iaitu filem Abang, mungkin Finas dah nampak sebab saya ada mohon dana. Mungkin kalau dapat suntikan dana, dapatlah satu perempat daripadanya datang daripada Finas.

"Untuk Walid juga, saya sebenarnya ada mohon, tetapi, permohonan kami gagal kerana ada beberapa perkara yang tidak menepati prosedur," katanya.

Ditanya harapannya untuk filem ini, Areel berkata, dia berharap agar filem ini dapat pergi lebih jauh daripada filem pertamanya sebelum ini, Geran.

"Saya berharap agar filem ini akan terus 'bergerak' dan akan lebih berbanding filem arahan saya sebelum ini iaitu Geran. Saya tak fikir apa pun lagi sehingga ke tarikh 14 September ini.

"Jadi, sama-sama kita nantikan sambutan dan maklum balas daripada rakyat Malaysia, sama ada ada yang kurang atau lebih," katanya.

Terdahulu, filem Walid mencipta kejayaan dan membawa kebanggaan kepada nama Malaysia apabila ia ditayangkan di dua lokasi pawagam di Amerika Syarikat iaitu New York dan Los Angeles pada Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 3:32 PM