Arif (dua dari kanan) bersama ketua kumpulan Rabbani, Azadan (kanan).
Arif (dua dari kanan) bersama ketua kumpulan Rabbani, Azadan (kanan).
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Kumpulan nasyid popular, Rabbani terharu apabila mereka diminati peminat cilik dikenali sebagai Arif Azhari Mursyid, 12.

Ketua kumpulannya, Azadan Abdul Aziz berkata, Arif yang tinggal di Bagan Lalang, Sungai Pelek, Selangor sangat teruja dengan Rabbani sehinggakan sanggup ke mana-mana untuk bertemu mereka.

"Tujuan adik Arif bertemu kami semata-mata untuk beli kopiah Rabbani. Malah, Instagram dan Facebooknya pun diletakkan nama arifrabbani. Kebetulan semalam dia dan keluarganya ada di Perak. Bapanya mesej saya beritahu nak bawa dia jumpa Rabbani sebagai kejutan ulang tahun hari lahirnya hari ini.

"Dalam masa sama, Ustaz Asri Ubai juga ada di Perak dan dapatlah mereka jumpa. Selepas itu mereka datang ke kedai saya pula, Azadan's Kitchen di Rawang," katanya kepada Harian Metro.

Azadan mengakui tidak menyangka Arif yang digelar generasi Z, amat fanatik dengan Rabbani.

"Ia boleh menjadi contoh yang baik kepada kanak-kanak lain agar meminati kumpulan nasyid di negara kita. Walaupun Rabbani sudah 'sendu' dan di akhir usia, alhamdulillah ada anak-anak kecil yang masih teruja dengan kami.

"Ia sekali gus mengingatkan kami sejarah 15 tahun dahulu di zaman kegemilangan Rabbani yang mempunyai ramai peminat di seluruh negara," katanya.

Arif memberitahu bapanya yang dia tidak mahukan apa-apa hadiah lain selain berjumpa anggota Rabbani.

"Katanya lagi, apabila balik Kuala Lumpur nanti, adik Arif mesti nak ziarah kubur Allahyarham Ustaz Asri. Bahkan dia rancang nak cari bunga untuk tanam di kubur arwah Ustaz Asri," katanya.

Baru-baru ini lagu Ittihad nyanyian mereka diangkat sebagai Lagu Nasyid Terbaik pada Anugerah Nasyid Malaysia 2020 (ANAM 2020).

Mereka juga meraih kemenangan menerusi Anugerah Vokal Nasyid Terbaik dan Lirik Nasyid Terbaik oleh Ito Lara.

Azadan berharap momentum Anam 2020 diteruskan agar nasyid kekal relevan dan diterima oleh semua lapisan masyarakat.

"Kami pun dapat respon daripada ramai peminat cilik yang menyukai kami dan sanggup tiru cara pemakaian kami. Penutup 2020 satu kenangan indah buat kami apabila melihat sambutan yang positif ini. Ia meniupkan semangat untuk kami terus berkarya pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 6:21 PM