KHAREEZ dan Nadeera, pasangan terbaik di pentas separuh akhir LCK2, Ahad lalu.
KHAREEZ dan Nadeera, pasangan terbaik di pentas separuh akhir LCK2, Ahad lalu.
Syafil Syazwan Jefri

SELEPAS beberapa minggu berjuang, akhirnya pertarungan peserta program Lagu Cinta Kita 2 (LCK2) kini bakal tiba ke penghujungnya.

Bagi pasangan peserta, Khareez dan Nadeera yang diumumkan sebagai pasangan terbaik di pentas separuh akhir Ahad lalu, perjuangan mereka dalam program ini umpama satu platform untuk menuntut ilmu.

Khareez atau nama sebenarnya Khareez Kasbullah berkata, pengalaman bertanding sebagai penyanyi duet bukan satu tugasan yang mudah bahkan menjadi cabaran baharu buat dirinya.

"Ini kali pertama saya menyertai pertandingan berskala besar begini dan semua yang berlaku ini masih baharu untuk diri saya. Pada peringkat awal, saya masih tercari-cari rentak pertandingan ini.

"Kami masing-masing adalah penyanyi solo. Apabila digandingkan sebagai peserta duet, sedikit sebanyak ia mencabar kemampuan kami," katanya.

Menurutnya, nyanyian secara duet memerlukan sedikit pengorbanan untuk memastikan penyampaian kedua-dua pasangan seimbang.

"Untuk memastikan persembahan kami seimbang, kami perlu mengenali antara satu sama lain. Dari situ, kami akan tahu di mana kemampuan kedua-dua kami. Pengorbanan dan komitmen juga menjadi keutamaan buat kami dalam memastikan persembahan kami dapat meyakinkan juri," katanya.

SALING luah perasaan dan kongsi pelbagai kisah suka dan duka.
SALING luah perasaan dan kongsi pelbagai kisah suka dan duka.

Bagi pasangan duetnya, Nadeera yang sebelum ini pernah pernah muncul menerusi program Vokal Bukan Sekadar Rupa 2 dan Mentor Legend, mereka perlu meluahkan perasaan masing-masing untuk mencari keserasian. Seperti yang semua sedia maklum, pada awalnya kami sendiri pun tak tahu siapa yang akan digandingkan sebagai pasangan.

"Jadi, apabila digandingkan dengan Khareez, kami saling meluahkan perasaan dan berkongsi pelbagai kisah suka dan duka dalam kehidupan masing-masing. Secara tak langsung, kami mula mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam dan secara tak langsung dapat mencipta keserasian," katanya.

Tidak mahu terhenti sekadar dalam pertandingan, Nadeera juga berharap gandingan mereka dapat diteruskan, sekali gus mencipta karier duet.

"Kalau boleh, selepas tamat dengan LCK2, kami akan teruskan lagi sebagai gandingan duet dan kalau boleh nak ada karya bersama. Insya-Allah," katanya.

Pentas akhir LCK2 akan bersiaran pada 3 Januari ini jam 9 malam di TV3.

Selain Khareez dan Nadeera, empat pasangan lain yang akan berentap adalah Syafiq dan Serra, Kael dan Evie, Iss dan Mya serta Adly dan Darling.

Selain pasangan peserta, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan daripada pengacara, Elly Mazlein dan Azwan, juri tetap, Mas Idayu, Ajai dan Hael Husaini serta artis jemputan iaitu Zizi Kirana dan Dayang Nurfaizah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 6:20 AM