Syafil Syazwan Jefri


PROGRAM Lagu Cinta Kita 2 (LCK2) baharu saja melabuhkan tirainya Ahad lalu. Namun, kehangatannya masih lagi dirasakan.

Bagi pasangan Adly dan Darling yang berada di tempat kelima, pengalaman menjadi peserta dalam program itu sangat berharga buat kedua-dua mereka.

Adly atau nama sebenarnya Ahmad Adly Sofwan Ahmad Azli, 20, berkata, LCK2 menjadi platform terbesar untuk kariernya sekali gus meninggalkan impak besar buat dirinya.

"Kami berpuas hati dengan keputusan di pertandingan akhir dan apa yang boleh saya katakan, impak daripada program ini sangat besar buat karier seni kami. Apabila menyertai program ini, ramai yang menonton dan mula tahu keberadaan kami sebagai penyanyi," katanya.

Tambahnya, program ini juga unik kerana mempertaruhkan peserta duet.

"Ketika program realiti lain mempertandingkan penyanyi solo, LCK2 mempertaruhkan konsep berbeza apabila mempertandingkan pasangan duet. Secara tak langsung, ini menjadi cabaran baharu buat kami. Tapi, apa yang paling penting adalah, bagaimana untuk berkomunikasi dengan pasangan duet kita," katanya.

Darling atau nama sebenarnya Wan Adlyn Maasyah Mohamad Shah, 20, juga berkongsi pendapat sama dengan Adly.

"Toleransi dan komunikasi itu perkara utama dalam memastikan kita dapat berduet dengan baik. Tipulah kalau saya cakap tak pernah ada perselisihan faham antara kami. Tentunya ada pertengkaran kecil, namun semuanya dapat diselesaikan dengan baik melalui perbincangan," katanya.

ADLY dan Darling kini merancang sesuatu untuk peminat mereka dan ingin memberikan kejutan.
ADLY dan Darling kini merancang sesuatu untuk peminat mereka dan ingin memberikan kejutan.

Pada masa sama, dia yang pernah mencipta nama di Indonesia menerusi pertandingan berkonsepkan dangdut bersyukur kerana masih mendapat sokongan peminat dari negara jiran.

"Alhamdulillah, walaupun selepas beberapa tahun, peminat dari Indonesia masih lagi ada bersama dengan saya. Sokongan mereka tak pernah putus sehinggakan saya bertanding dalam program ini pun, mereka terus berikan kata-kata semangat," katanya.

Apa yang pasti, Adly dan Darling kini merancang sesuatu untuk peminat mereka dan ingin memberikan kejutan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 6:40 AM