Zakaria Abdul Hamid.
Zakaria Abdul Hamid.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pengurusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid berpuas hati dan bangga dengan kejayaan pencapaian ahli perbadanan itu sepanjang 100 hari perkhidmatan sejak mendapat mandat menggalas tugas pada Mei lalu.

Zakaria berkata, jika ikutkan peratusan pencapaian sudah diraih pasukan ahli perbadanan adalah di luar jangka dan pasti sukar dipercayai.

"Dari segi pencapaian dalam tempoh ini, apa yang boleh saya cakap kita sudah melebihi sasaran 200 peratus. Ia memang di luar jangka. Ia boleh diambil kira juga sebahagiannya adalah hikmah daripada Covid-19 ini. Kita tingkatkan momentum kerja lebih tinggi.

"Dalam soal ini, saya fikir bukan kita di Finas saja yang meningkatkan momentum hasil kerja, tapi pelbagai agensi lain juga turut mengalaminya gara-gara masalah Covid-19 yang menjejaskan banyak pihak.

"Kita di Finas, sebagai ahli perbadanan bekerja dengan sangat komited hingga ke tengah malam untuk cari penyelesaian membantu penggiat seni tanah air bangkit semula melalui kebenaran membuat penggambaran," katanya dalam sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Finas, Datuk Norman Abdul Halim.

Menurut Zakaria, apa yang membuatkan pencapaian hasil kerja ahli perbadanan Finas lebih cantik kerana mendapat sokongan penuh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Berbicara mengenai pencapaian Finas, Zakaria berkata, antaranya ialah bantuan untuk artis mendapatkan rumah melalui komuniti seni prihatin di atas usaha gigih Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

"Usaha ini (bantuan rumah) sudah dimulakan sekitar dua tahun lalu, tapi Alhamdulillah, kita dapat selesaikan dengan cepat melalui kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Selain itu, kita juga bakal mendapat kerjasama daripada kementerian lain yang sudah menunjuk minat dengan program komuniti seni prihatin untuk bantu artis dapatkan rumah.

"Malah, pada akan datang juga bantuan rumah itu tidak tertumpu pada Program Perumahan Rakyat (PPR) saja, tapi artis juga berpeluang dapatkan bantuan rumah kos sederhana juga," katanya.

Menurut Zakaria, ada beberapa perancangan program Finas yang sepatutnya dilaksana tahun depan, namun sudah dapat direalisasikan kini.

Katanya, ia termasuk program akreditasi untuk memperkasakan modal insan dan profesionalisme penggiat. Setakat ini, banyak juga badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat untuk latihan.

Sehubungan itu, pelantikan Zakaria sebagai Pengerusi Finas berkuat kuasa pada 23 Mei lalu turut menerbitkan pertikaian kerana dia bukan dalam kalangan penggiat industri hiburan.

Tanggapan sukar mendapat kerjasama daripada penggiat seni menjadi cabaran utamanya dan ternyata meleset, apabila sikap mudah mesra Zakaria berjaya membuatkan dia diterima baik semua pihak dalam tempoh dua minggu termasuk kerjasama daripada pengamal media.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 5:46 PM