DELIMAWATI menerima surat tawaran menyewa unit PPR daripada Zuraida sambil diperhatikan Saifuddin dan Zakaria. FOTO ihsan FINAS
DELIMAWATI menerima surat tawaran menyewa unit PPR daripada Zuraida sambil diperhatikan Saifuddin dan Zakaria. FOTO ihsan FINAS
Ridzuan Abdul Rahman

 

PENGERUSI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid menafikan pihaknya bersikap pilih kasih terhadap penggiat seni yang layak menyewa unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Finas Prihatin.

Zakaria berkata, program itu adalah sebuah program yang berterusan dan ramai lagi yang bakal mendapat peluang serupa selepas ini.

"Kelmarin adalah fasa pertama membabitkan penyerahan surat tawaran kepada 25 artis veteran yang memohon. Untuk tahun ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukan 55 unit rumah dan baki 30 bakal penerima akan diproses permohonan mereka dalam masa terdekat.

"Penilaian dan pemilihan dilakukan sepenuhnya oleh panel pemilihan di Jabatan Perumahan Negara KPKT dan Finas hanya bertindak sebagai penyelaras menerima permohonan dan mengesahkan identiti pemohon adalah penggiat seni," katanya kepada Harian Metro. 

Menurut Zakaria, Menteri KPKT, Zuraidah Kamaruddin mengumumkan program itu akan dibuat berterusan. 

"Apabila ada pembinaan baru projek PPR, KPKT akan pertimbangkan lagi bagi memperuntukkan beberapa buah rumah untuk program komuniti seni. Mereka yang memerlukan rumah boleh kemukakan permohonan melalui persatuan atau individu ke sekretariat program ini yang dikendalikan UKK Finas.

"Penyanyi otai yang belum memiliki rumah dan merasakan layak untuk menduduki rumah PPR, boleh memohon melalui program ini," katanya.

Jelas Zakaria, Finas akan menyediakan 'database' untuk dipanjangkan kepada Jabatan Perumahan Negara untuk penilaian dan pemilihan panel.

"Kami sedang dalam proses mengumpul nama pemohon untuk dikemukakan kepada JPN dan dijangka selesai awal November nanti. Jika terdapat penyanyi otai yang sudah kemukakan permohonan, kami akan panjangkan kepada JPN.

"Paling utama, maklumat kena betul dan jangan ada yang menipu maklumat," katanya.  

Terdahulu, seorang individu dikenali sebagai Madrox menerusi Facebook meluahkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penyanyi otai kerana kebanyakan penerima rumah itu membabitkan pelakon.

Dia yang dihubungi mengakui kecewa kerana permohonan menerusi Pertubuhan Muafakat Rockers Malaysia (PMRM) tidak mendapat respons mana-mana pihak.

"Seramai 23 penyanyi dan pemuzik buat permohonan antaranya anggota kumpulan Bloodshed, Samudera, Rose Sherox, Qiara dan Mael XPDC namun gagal mendapat tempat," katanya.  

Penerima untuk fasa pertama ini antaranya ialah Delimawati, Sheila Mambo, Badrul Muhayat, Ayati Tasrip, Wan Nor Azlin, Abu Bakar Ahmad, Mahmud Ali Basha, Alina Hassan dan Mubarak Majid. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 2:33 PM