LIU YIFEI
LIU YIFEI
Agensi

FILEM buatan semula Mulan yang memulakan tayangan di seluruh dunia berdepan ancaman boikot selepas isu kontroversi membabitkan bintang utamanya, Liu Yifei, 33.

Pada Ogos tahun lalu, pelakon kelahiran Wuhan, China itu mencetus kemarahan ramai apabila memuat naik status menyatakan sokongannya terhadap polis Hong Kong sewaktu krisis China-Hong Kong berlaku masa itu.

"Saya menyokong polis Hong Kong. Kamu boleh serang saya sekarang," demikian status dikongsinya di Weibo yang mana asalnya ditulis seorang pemberita dari Global Times.

Sekali gus, ramai mengamuk dengan tindakan Liu itu sehingga #BoycottMulan menjadi sohor kini ketika itu. Sekarang, ia kembali sohor kini di internet selepas tayangannya dimulakan.

Warganet dari sekitar Korea Selatan, Taiwan, Thailand, dan negara lain mendakwa pelakon itu menyokong keganasan pihak berkuasa yang bertentangan dengan kebebasan demokrasi.

Filem terbitan Disney itu sepatutnya dijadualkan mula ditayangkan pada 27 Mac lalu namun terpaksa ditangguh selama tiga kali berikutan penularan pandemik Covid-19 selain panggung wayang ditutup beberapa bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 11:39 AM