NOURUL Wahab Depp
NOURUL Wahab Depp
Georgie Joseph


PENYANYI Nourul Wahab Depp, 43, memohon orang ramai supaya tidak bergaduh mengenai isu pemakaian baju tradisi bangsa lain seperti yang heboh diperkatakan ketika ini.

Nourul berkata, tiada salahnya untuk mengenakan pakaian bangsa lain apatah lagi rakyat Malaysia sendiri terdiri daripada masyarakat majmuk.

"Kita kan rakyat Malaysia. Tak salah pakai baju bangsa Cina, India atau Melayu. Semua ini muhibbah terutama di bulan merdeka ini. Kita kena sedar siapa dan apa itu Malaysia.

"Nak bertekak pakai baju bangsa atau mempermainkan budaya, pada saya tiada kena-mengena. Di rumah, saya ada semua baju budaya. Pakai saja apa pun. Asalkan jangan bogel melilau sana-sini sudah," katanya.

Nourul menerusi perkongsian itu turut memuat naik foto lamanya mengenakan sari yang mana menurutnya dia seronok setiap kali menggayakan baju tradisi kaum India itu.

"Saya suka sari! Dari kecil sudah biasa pakai. Saya kan ada darah keturunan India. Maka, tidak salah kan kalau kita memakmurkan lagi asal-usul kita," katanya.

Semalam, panas diperdebatkan di media sosial selepas pelakon Mira Filzah tampil mengenakan pakaian tradisional pengantin wanita masyarakat India, Lehenga untuk penggambaran produk kanta lekapnya.

Mira memohon maaf dan mengakui tidak berniat untuk menimbulkan sebarang isu menerusi penampilannya itu. Menurutnya, tema itu adalah satu daripada konsep penggambaran terbabit selain dia memangĀ  penggemar filem dan lagu Bollywood.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 4:06 PM