NOURUL. FOTO HAFIZ SOHAIMI
NOURUL. FOTO HAFIZ SOHAIMI
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI Nourul Wahab Depp, 43, menyambut baik tindakan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengambil tindakan disiplin terhadap anggota Aviation Security (AVSEC) yang didakwa menengkingnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

MAHB dalam satu kenyataan turut membuat permohonan maaf terhadap Nourul dan keluarganya.

Nourul ketika dihubungi berkata, selepas kejadian itu, dia juga menerima maklum balas daripada MAHB di Twitter.

"Mereka memberi maklum balas yang pantas dan meminta saya kongsikan maklumat mengenai insiden itu. Saya sarankan kepada mereka supaya memberi amaran dan juga latihan yang lebih khusus berkaitan tatasusila kepada anggota beruniform yang bertugas," katanya kepada Harian Metro.

Setakat ini, penyanyi lagu Kerana Terluka itu belum menerima sebarang permohonan maaf secara peribadi daripada MAHB.

"Setakat ini saya belum terima apa-apa lagi. Mungkin mereka ada emel kerana pihak MAHB ada meminta alamat emel saya," katanya.

Nourul berkata, selepas kejadian itu, ramai pengikut di media sosialnya berkongsi pengalaman sama yang pernah mereka lalui.

"Ini bukan perkara baru, cuma orang tak mahu hebahkan. Tapi, apabila berita mengenai saya keluar bukan saja di akhbar berbahasa Melayu tetapi juga akhbar berbahasa Cina, barulah ramai yang berani tampil.

"Setiap hari, ada saja mesej yang saya terima dan rata-rata berkongsi pengalaman pahit mereka berdepan situasi yang lebih kurang sama dengan apa yang saya alami," katanya.

Nourul juga menasihatkan seluruh masyarakat supaya sentiasa menjaga adab sopan tanpa mengira latar belakang.

"Siapa pun kita, biarlah kita bekerja atau berurusan dengan penuh beradab dan bersopan. Tak rugi pun kalau kita buat baik dengan orang.

"Lainlah jika saya melanggar peraturan atau meminta layanan istimewa. Ini tidak, saya akur dengan peraturan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti mana yang diminta pihak MAHB," katanya.

Kejadian itu berlaku ketika Nourul menghantar kedua-dua mentuanya pulang ke Perancis, Sabtu lalu.

Berita berkaitan:

  • Boleh tegas, tapi jangan kurang ajar!
  • MAHB mohon maaf kepada Nourul
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 2:45 PM