Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid. FOTO ROHANIS SHUKRI
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid. FOTO ROHANIS SHUKRI
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Tidak ada sama sekali membabitkan skop di luar syarat yang ditetapkan termasuk unsur pilih kasih atau sentimen perkauman dan kecenderungan politik."

Itu kata Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid berkenaan penolakan permohonan geran dibuat penerbit, pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki.

Afdlin mendakwa penolakan untuk menerbitkan filem Angel of Sandakan itu kerana dia secara terbuka menyatakan sokongan terhadap parti pembangkang iaitu PKR, baru-baru ini.

Zakaria berkata, pemilihan calon penerima bantuan geran melalui proses biasa dengan empat peringkat penilaian.

"Pemilihan calon penerima bantuan geran pembikinan filem atau drama melalui proses biasa dengan empat peringkat penilaian iaitu saringan awal (kelayakan syarikat produksi), temubual (pitching), pemarkahan dan cadangan pemilihan (panel penilai) dan penilaian akhir dan kelulusan (kementerian). "Proses ini sangat telus, dinilai oleh panel berkelayakan dan keputusan pemilihan tertakluk kepada kualiti kertas cadangan, menepati aspirasi ditetapkan dan kesesuaian untuk tayangan iaitu diterima oleh pihak stesen TV untuk drama atau dokumentari," katanya kepada Harian Metro.

Zakaria menjelaskan punca penolakan permohonan daripada pihak Afdlin termasuk syarikat produksi lain kerana tidak mengikut syarat ditetapkan.

"Antara punca penolakan cadangan adalah disebabkan ketidaksesuaian kertas cadangan seperti ditetapkan dan kegagalan dalam mempersembahkan jalan cerita semasa sesi 'pitching'.

"Adalah menjadi hasrat Finas dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) terus membantu sebanyak mungkin syarikat produksi untuk mendapatkan bantuan geran bagi merancakkan semula industri terutamanya memberi peluang pekerjaan dan pendapatan kepada penggiat industri membabitkan pelakon dan petugas belakang kamera yang terjejas teruk akibat Covid-19.

"Setiap penerbit hanya layak mendapat satu tawaran saja dalam satu masa, sehingga siap sepenuhnya pembikinan filem, drama atau dokumentari. Dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu, Finas sudah membantu dengan penawaran kerja kepada 370 syarikat produksi, dan banyak lagi permohonan akan dibuka sehingga awal tahun depan. Syarikat produksi yang belum berjaya boleh terus cuba memohon geran yang disediakan ini," katanya.

Menurut Zakaria, daripada 70 permohonan (luar jangka), hanya enam syarikat yang terpilih.

"Untuk tawaran geran dana filem kenegaraan yang dipohon Afdlin, sebanyak 70 permohonon diterima. Jadi, saingan memang sengit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 2:45 PM