Pelakon, Izreen Azminda bersama suami Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude. FOTO OWEE AH CHUN
Pelakon, Izreen Azminda bersama suami Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude. FOTO OWEE AH CHUN
Sudirman Mohd Tahir

 

"Dari dulu sampai sekarang, suka buat tajuk yang mengundang fitnah. Cukup-cukuplah," reaksi pelakon, Izreen Azminda terhadap artikel yang diterbitkan sebuah portal hiburan.

Izreen berkata, tajuk 'Muncul Di Mahkamah Syariah, Rumah Tangga Izreen Azminda Dilanda Badai?' itu dianggap keterlaluan dan tidak masuk akal.

Menurut Izreen, kehadirannya ke mahkamah baru-baru ini adalah bagi menyelesaikan urusan denda beberapa tahun lalu.

"Bukan portal ini saja, tapi macam-macam blog lagi yang sengaja menggunakan tajuk sensasi demi menarik perhatian pembaca. Sekali gus, tajuk sebegitu sudah mengundang fitnah apatah lagi orang ramai memang suka baca tajuk saja.

"Landa badai apa? Saya elok saja dengan suami di rumah ni. Saya ke sana sebab dipanggil pihak mahkamah untuk menyelesaikan urusan denda yang bertahun lamanya. Tidak ada kaitan pun dengan hubungan rumah tangga saya.

"Dah kering idea nak buat cerita? Lain kali selidik dan tanya dulu. Jangan nak main tulis saja," katanya kepada Harian Metro.

Izreen juga secara sinis mempelawa pihak terbabit untuk membeli produk jualannya iaitu apam Sugar Butter Milk.

"Saya sedang sibuk menyiapkan apam yang ditempah pelanggan. Apa kata portal atau blogger sebegini beli apam yang saya jual ini. Murah saja.

"Mana tahu lepas makan apam dapat idea yang lebih bagus. Itu lebih bermanfaat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 2:30 PM