AISHAH  menerusi Instagram meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir individu yang suka meniru rekaan orang lain untuk menjana pendapatan.
AISHAH menerusi Instagram meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir individu yang suka meniru rekaan orang lain untuk menjana pendapatan.
Syafil Syazwan Jefri

 

PENYANYI lagu Janji Manismu, Aishah menerusi Instagram meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir individu yang suka meniru rekaan orang lain untuk menjana pendapatan.

Aishah memuat naik isu itu di Instagram selepas menerima kiriman mesej daripada individu tidak dikenali yang memintanya untuk berkongsi dari mana dia mendapatkan bekalan kain untuk menghasilkan penyambung pelitup muka atau 'face mask extender'.

"Kadang-kadang saya peliklah. Kenapa di Malaysia ini ramai 'kaki ciplak'? Tak boleh tengok rekaan orang lain, tanpa segan silu boleh tanya mana kita beli bahan kita.

"Dari dulu saya tak faham betul perangai orang begini. Ada akal fikiran, gunalah untuk hasilkan produk sendiri," tulisnya.

Menurut Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, dia sendiri berusaha untuk menghasilkan rekaan sendiri.

"Saya bukanlah nak berniaga sangat, tapi saya ambil masa untuk cipta rekaan sendiri ini. Untuk setiap karya yang saya buat, ada yang menjadi ada yang tidak. Dalam tong sampah itu pun banyak eksperimen yang tak jadi.

"Geram betul bila orang senang-senang nak ciplak. Tak ada hormat langsung pada ciptaan orang lain. Sendiri tukang jahit pun tak boleh nak reka ke?" tulisnya lagi.

Dalam perkongsian sama, Aishah juga berkongsi pengalamannya berdepan situasi 'kaki ciplak' dalam kalangan orang yang dikenalinya.

"Dulu, pernah orang datang rumah saya dan ciplak salah satu bahan untuk buku saya, siap masuk pertandingan dengan menggunakan rekaan saya. Menang pula tu. Memang tak dijemput datang rumah lagilah nampaknya.

"Pernah juga ada kenalan yang saya perhatikan, setiap kali saya buat sesuatu kraf dan muat naik di media sosial, dua ke tiga hari kemudian, dia akan buat sesuatu yang hampir sama. Mula-mula ingatkan kebetulan. Tetapi, lama kelamaan memang dah seketul-seketul ditirunya," tulisnya.

Menutup perkongsiannya, Aishah menegaskan supaya individu-individu 'kaki ciplak' berusaha untuk mencipta rekaan sendiri.

"Orang begini tak ada keyakinan dalam diri sendiri untuk berkarya atau pun malas untuk berfikir. Memang tak banyak rekaan yang kita boleh kata betul-betul unik kerana mesti kita akan dapat inspirasi dari mana-mana. Tolonglah. Usaha untuk cipta produk sendiri dan jangan cari jalan mudah, nak main ciplak saja!" tulisnya.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, Aishah menjalankan usaha menjual penyambung pelitup muka dengan rekaan sendiri bagi memudahkan wanita bertudung untuk memakai pelitup muka.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 7:09 PM