PENONTON berpeluang mendengar khutbah raya yang akan disampaikan oleh Zulkifli.
PENONTON berpeluang mendengar khutbah raya yang akan disampaikan oleh Zulkifli.
Sudirman Mohd Tahir


SEMPENA sambutan Aidilfitri, TV Alhijrah memilih tema Syawal Menyatu Hati sebagai asas kepada sambutan perayaan kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, tradisi sambutan perayaan Aidilfitri ini mempunyai matlamat dan falsafah yang amat tinggi dan mulia.

"Lihat kembali kepada falsafah sambutan Aidilfitri di dalam Islam. Sekiranya diamati, pensyariatan perayaan Aidilftri ini berlaku selepas pelaksanaan ibadah yang besar dalam Rukun Islam iaitu ibadah puasa.

"Maka, tidak keterlaluan jika kita katakan tradisi sambutan perayaan Aidilfitri ini mempunyai matlamat dan falsafah yang amat tinggi dan mulia. Cuma kita harus pastikan sambutannya pada tahun ini dalam keadaan bersederhana, berwaspada serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan.

"Kami di TV AlHijrah berusaha sehabis baik untuk menyajikan rancangan yang mampu menyatu hati penonton semua dalam meningkatkan keimanan sekaligus memberi nilai tambah dalam kehidupan," katanya.

Menurut Namanzee, tempoh 25 jam diperuntukkan khusus untuk semua rancangan Aidilfitri di platform televisyen dan atas talian.

"Ini membabitkan program genre dewasa, wanita dan remaja. Untuk menghilangkan rasa rindu berjemaah di masjid melaksanakan solat sunat Aidilfitri, TV AlHijrah membawakan khas rancangan Assalamualaikum Solat Raya Live yang akan disiarkan serentak di Astro Oasis dan Astro Naura.

"Menerusi program ini penonton bukan saja boleh menyaksikan solat sunat Aidilfitri yang dilaksanakan di Studio Digital TV AlHijrah, malah penonton juga berpeluang untuk mendengar khutbah raya yang akan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri," katanya.

Selain itu, empat filem filem istimewa terbitan produksi dalam dan luar negara ditayangkan khas buat semua. Antaranya filem Geran, Malaikat Kecil, Iqro My Universe dan Kalam Kalam Langit.

Antara program lain sepanjang hari raya ini adalah Munajat, Malaysia QuranTime Istimewa Aidilfitri, Berita AlHijrah Istimewa Aidilfitri, Belaian Kasih Istimewa Aidilfitri, Kembara Suci Jejak Bumi Anbiya Istimewa, Tausiyah Ustazah Asma Istimewa Aidilfitri dan E-Kaunter Netizen Syamsul Debat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 12:24 PM