TAN Lay Han
TAN Lay Han
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: TGV Cinemas hari ini mengumumkan perlantikan Tan Lay Han sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa 17 September ini.

Lay Han dalam satu kenyataan berkata, dengan tanggungjawab besar digalas itu, beliau berjanji akan memacu TGV ke arah corak perkhidmatan yang lebih berinovasi serta mantap.

"Saya teruja dengan peluang untuk mengetuai perniagaan TGV yang terbukti berjaya membawa hiburan panggung wayang terbaik buat rakyat Malaysia.

"Bersama pasukan TGV, kami komited untuk membawa inovasi dalam pengalaman perkhidmatan menyeronokkan dan konsep-konsep segar kepada rakyat Malaysia," katanya.

Pengerusi TGV Cinemas, Shaharul Rezza Hassan berkata, Lay Han adalah calon paling layak berikutan kredibiliti serta kewibawaannya terbukti mengagumkan selama ini.

"Lay Han sarat dengan pengalaman dalam memahami, ambil berat dan bertindak balas dalam evolusi keperluan pelanggan. Ia kunci penting untuk panggung wayang dalam mencorak masa depan industri selepas Covid-19.

"Kami sangat teruja dengan perlantikan ini. Kami yakin sepenuhnya terhadap kemampuan Lay Han untuk mengepalai TGV susulan pemahaman kukuhnya terhadap perniagaan ini serta kaya ilmu dalam dinamik pengguna," katanya.

Lay Han yang berpengalaman luas dalam industri panggung wayang mula menyertai Tanjong Plc pada 1994.

Beliau terbabit dalam pembentukan konsep TGV Cinemas dan dilantik sebagai Pengurus Awam.

Beliau kemudian beralih ke bidang telekomunikasi dengan menyertai Maxis pada 1999. Peranannya adalah memastikan perkembangan dan keberkesanan dalam kepimpinan jualan, perkhidmatan, pemasaran, pelan perniagaan dan transformasi inovatif serta pengalaman pelanggan. 

Terdahulu, Lay Han memegang jawapan sebagai Ketua Pegawai Jualan dan Perkhidmatan di Maxis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 4:56 PM