PASANGAN sejoli, Kunal dan Soha.
PASANGAN sejoli, Kunal dan Soha.
Oleh Norhayati Nordin


LIMA tahun mendirikan rumah tangga dengan aktres, Soha Ali Khan membuatkan kehidupan pelakon Kunal Khemu, 37, lengkap sebagai suami dan bapa.

Kebahagiaan berkeluarga dinikmati Kunal bersama Soha yang juga adik aktor terkenal Bollywood, Saif Ali Khan sangat kukuh.

Kasih sayang dibina pasangan sejoli ini dieratkan dengan kehadiran cahaya mata perempuan, Inaaya Naumi Khemu kini berusia tiga tahun.

Apa yang pasti, perkembangan kerjaya seni Kunal juga membanggakan apabila dia muncul dengan filem berjudul Malang di pawagam, baru-baru ini.

“Saya gembira dengan sambutan filem Malang pada kalangan peminat yang sentiasa menyokong dan mengikuti perjalanan kerjaya seni ini.

“Terima kasih di atas sokongan pada watak Micheal dilakonkan dan saya sangat menghargai. Selain itu, saya juga gembira dengan sokongan isteri dan keluarga,” katanya.

Mengakui Soha, 41, adalah lambang pembakar semangat yang sentiasa menyokong dari belakang, Kunal berkata, isterinya banyak berkongsi pengalaman.

“Keluarga Soha sangat terkenal dalam industri hiburan Bollywood. Ibu mentua saya, Sharmila Tagore adalah pelakon lama yang dikagumi.

“Begitu juga dengan abang ipar, Saif dan isterinya, Kareena Kapoor, mereka sangat dikenali dan mempunyai ramai peminat.

SOHA sentiasa sokong perjalanan seni Kunal.
SOHA sentiasa sokong perjalanan seni Kunal.

“Isteri saya, Soha juga tidak kurang hebatnya. Jadi, tak dinafikan sedikit sebanyak keluarga isteri membantu mengukuhkan nama saya selain bakat,” katanya.

Apapun, bakat lakonan Kunal bemula pada 1993 ketika kanak-kanak dengan membintangi filem Hum Hain Rahi Pyar Ke sebagai Sunny bersama Aamir Khan dan Juhi Chawla.

Berbicara mengenai isteri tersayangnya, Kunal berkata, Soha menjadi bahagian penting dalam hidupnya pada tempoh lama.

“Walaupun antara saya dan dia (Soha) mempunyai memori pembesaran pada masa kecil yang sangat berbeza, tetapi kami saling memahami.

“Kami suka berbincang terutama mengenai kebahagiaan perkahwinan dan keluarga. Begitu juga, kami suka berbincang soal kerjaya.

“Sejujurnya, saya akui kehadiran Soha dalam hidup ini adalah bahagian terbaik kerana kami juga saling menghormati sesama sendiri,” katanya.

Mengulas kerjasama dengan isterinya dalam lakonan, Kunal berkata, dia dan Soha diganding bersama dalam filem biopik berjudul Ram Jethmalani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 6:30 AM