SUFIAN SUHAIMI
SUFIAN SUHAIMI
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI popular, Sufian Suhaimi menulis puisi khas buat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk Untukmu Tun.

Puisi yang ditulis sejak 2012 itu diterbitkan bersama 59 koleksi puisi lain dalam Di Matamu Senandika Sufian Suhami yang dilancarkan hari ini.

“Puisi dalam buku ini adalah karya asli saya dan dikumpul sejak 2012 ketika mula menuntut di Unisza (Universiti Sultan Zainal Abidin). Sebelum ini tak terfikir pun nak diterbitkan. Cuma, selepas persembahan syair menerusi lagu Di Matamu pada Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33) lalu menjadi tular, banyak permintaan untuk saya terbitkan puisi. Ketika itu saya berasakan mungkin ini waktu sesuai saya berkongsi kepada umum.

“Puisi Untukmu Tun antara karya yang saya suka. Ia cukup bermakna untuk saya yang mana menceritakan mengenai personaliti, kepimpinan dan seorang yang dikagumi,” katanya kepada Harian Metro.

Sufian berkata, keadaan politik negara ketika ini diharap tidak menjejaskan penjualan buku itu.

“Harapnya apa yang berlaku sekarang tak ganggu jualan. Ini saya rancang dari tahun lalu lagi. Saya juga tidak meletakkan harapan tinggi atau ia menjadi ‘best sellter’. Lagipun, niat saya memang nak keluarkan dan kongsi pada semua. Alhamdulillah, hasrat ini tercapai. Sekarang, kita tak dapat jangka apa akan berlaku. Semoga negara dan rakyat Malaysia dalam keadaan baik sejahtera,” katanya.

Hadir sama pada majlis pelancaran buku terbitan Nine Flix itu adalah Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan.

Buku itu dijual dengan harga RM70 (kulit keras) dan RM50 (kulit lembut) bagi Semenanjung Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 7:53 PM