Najiy Jefri


PELAWAK popular, Allahyarham Abam Bocey sengaja membina empat bilik di rumahnya supaya tiga lagi adik-beradiknya boleh tinggal di situ andai mereka ditimpa kesusahan satu hari nanti.

Adiknya yang juga pelawak, Ali Puteh berkata, itu menunjukkan Allahyarham sangat menyayangi keluarganya.

“Semua bilik itu itu dilengkap perabot yang sama. Dia kata jika satu hari kami tiada duit, baliklah ke rumah yang dibina itu dan tinggal bersama.

“Itu menunjukkan arwah sangat sayang dengan keluarga. Dia sudah fikirkan masa depan kami dan sediakan lebih awal,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ali, bayaran yang diterima sepanjang terbabit dalam program Maharaja Lawak Mega 2019 baru-baru ini diberikan kepada ibunya.

“Dia tak akan lupakan ibu dan mesti ada bahagian untuk ibu. Baru-baru ini dia beli ibu barang kemas bagi menggantikan barang kemas yang pernah digadai ibu ketika susah dulu,” katanya.

Ali berkata, Abam selalu berpesan supaya sentiasa mengutamakan adik-beradik dan menjaga hubungan dengan ibu bapa.

ALI mengingati pesan arwah Abam Bocey. FOTO NSTP
ALI mengingati pesan arwah Abam Bocey. FOTO NSTP

“Adik-beradik adalah segala-galanya untuk dia. Paling utama pesannya adalah jangan sesekali berkira dengan ibu bapa kerana kita tak mampu untuk membalas jasa mereka.

“Dia selalu cakap jika kita buat baik, ramai orang sayang dan buat baik tak perlu minta dibalas,” katanya.

Ali berharap pemergian abangnya itu dijadikan iktibar dan inspirasi kepada semua.

“Kita lihat bagaimana kematiannya. Dia pergi dengan tenang dan sewaktu solat jenazahnya di Masjid Gombak Utara, ribuan jemaah hadir dan mengadakan solat jenazah, malah kuburnya sentiasa basah kerana orang ramai tidak putus-putus menziarah.

“Satu hari giliran kita akan tiba juga, cuma kita tidak tahu pengakhirannya bagaimana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 5:14 PM