WANI berharap keseluruhan CGPA akan kekal cemerlang apabila tamat pada Jun 2020. FOTO Rosela Ismail
WANI berharap keseluruhan CGPA akan kekal cemerlang apabila tamat pada Jun 2020. FOTO Rosela Ismail
Oleh Georgie Joseph


PENYANYI, Wani Kayrie berkongsi kegembiraannya tersenarai anugerah dekan selepas mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.57 untuk semester pertama dan kedua pengajiannya dalam bidang Asasi Undang-Undang di Management and Science University (MSU).

Wani, 19, berkata dia memutuskan untuk memuat naik keputusannya itu di Instagram bagi mencetuskan inspirasi kepada sesiapa di luar sana dan tiada niat mahu menunjuk pun.

“Saya sebenarnya tidak sangka dengan keputusan yang begitu menggembirakan ini. Mana tidak, saya sendiri sangat takut untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang awal dulu.

“Atas dorongan keluarga terutama ibu yang juga pengamal undang-undang, saya terima cabaran ini meskipun masih risau tidak mampu mendapat keputusan cemerlang. Disebabkan ketakutan ini jugalah saya lipat gandakan usaha untuk ulangkaji.

“Saya benar-benar mahu buktikan bahawa sesibuk mana pun seseorang apalagi saya sendiri artis, kerja keras dicurahkan pasti setimpal jika belajar bersungguh-sungguh,” katanya kepada Harian Metro.

Wani yang baru melancarkan lagu berjudul Magika ciptaan Omar K, Ikhwan Fatanna, Omar K, John Jeeves, Blaine Bakri dan Exactesy, juga berharap dia mampu mengekalkan momentumnya dalam pengajian selepas ini.

“Sekarang pengajian saya sudah masuk semester ketiga dan ada tinggal satu semester lagi untuk dihabiskan. Saya berharap keseluruhan CGPA akan kekal cemerlang apabila tamat pada Jun 2020.

“Agak risau juga sekarang disebabkan saya kini mula sibuk mempromosikan lagu baru. Bagaimanapun, saya berjanji akan terus melipatgandakan usaha dalam pembelajaran,” katanya.

Wani memulakan pengajiannya dalam jurusan itu sekitar April lalu dan mengakui semakin seronok meskipun perlu bekerja dalam waktu sama.

Baginya, dia menganggap itu adalah rezeki dan cuba untuk membahagikan masa sebaiknya tanpa ada satu yang tercicir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 4:07 PM