AZZAM enggan hadkan nyanyiannya kepada genre balada sahaja.
AZZAM enggan hadkan nyanyiannya kepada genre balada sahaja.
Georgie Joseph


KELUNAKAN suara penyanyi Azzam Sham tidak disangkal begitu mempesona. Vokalnya cukup berat dan sangat sempurna, apatah lagi mendendangkan lagu balada.

Azzam atau nama sebenarnya Muhammad Azzammuddin Lop Hisham, 24, bagaimanapun mahu membuktikan dia juga penyanyi serba boleh. Justeru, menerusi lagu baharunya, Baby Bambam, dia cuba tonjol sisi berbeza pula.

Juara Big Stage 2020 itu percaya menjadi versatil adalah sangat penting jika mahu menjadi penghibur disegani. Penyanyi perlu ada strategi tersendiri bagi memastikan pendengar tetap mengikuti mereka.

"Saya memutuskan untuk memilih rentak lebih rancak dan 'catchy' untuk lagu baharu saya, Baby Bambam. Sebagaimana judulnya, melodi yang ditampilkan sangat berbeza dengan lagu terdahulu saya.

"Tentu sekali saya akui lagu balada adalah genre paling dekat di hati saya. Namun, saya mahu buktikan bahawa kemampuan nyanyian saya tidak terhad kepada genre itu semata-mata.

"Disebabkan itu, saya gembira apabila dapat berbuat demikian dalam lagu baharu ini. Saya mahu terus bereksperimen dan meneroka sejauh mana saya boleh kuasai genre lain juga," katanya.

Antara faktor yang membuatkan Azzam nekad mahu tonjol sisi berbeza adalah demi mengaut perhatian peminat cilik. Baginya, ia bukan tugas mudah dan kena sajikan karya yang tepat.

Bukan bermakna dia terlalu yakin Baby Bambam ciptaan Ejai Aziz itu pasti akan merealisasikan misinya. Namun, dia percaya sekurang-kurangnya usaha itu sudah dimulakan dan jadi panduan memperbaiki karyanya.

"Secara peribadi, lagu balada bukan senang diterima atau menepati cita rasa pendengar kanak-kanak. Ini kerana, lagu balada biasanya agak berat dan mesejnya cukup mendalam.

"Sebaliknya, kalau lagu rancak dan liriknya ringkas, pendengar cilik senang fahami serta sukakannya. Itu harapan saya sebenarnya untuk cuba resipi berbeza dalam muzik baharu saya kali ini," katanya.

Memiliki vokal berat serta mendayu, Azzam mendedahkan dia juga sebenarnya berdepan cabaran ketika proses rakaman Baby Bambam. Apalagi, dia sudah tebiasa dengan lenggok genre balada.

Bagaimanapun, dia berjaya mendapat rentak terbaik untuk tampil nyanyian bersahaja dalam lagu itu. Turut mendapat tunjuk ajar dari Harry Khalifah atau Apak yang juga penerbit lagu terbabit, buat dia lebih yakin dengan nyanyiannya.

"Memandangkan saya memiliki vokal yang besar, memang agak mencabar juga untuk menukar coraknya kepada lebih santai. Apalagi lagu itu perlu disuntik dengan 'mood' yang ceria dan menyeronokkan.

BERHARAP lagu Baby Bambam mampu menarik peminat cilik.
BERHARAP lagu Baby Bambam mampu menarik peminat cilik.

"Tapi, sebaliknya Apak sendiri menyuruh saya manfaatkan kelebihan itu dengan memasukkan nyanyian klasikal. Ia satu eksperimen yang bagi saya sangat mengujakan kerana masih tonjolkan kekuatan vokal," katanya.

Enggan tersekat dalam satu kepompong

Sudah terlalu sebati sebagai penyanyi dalam kalangan peminat, Azzam tidak menafikan timbul kegusaran mengenai penerimaan lagu itu. Namun, dia menepis perasaannya dan yakin ia berbaloi.

"Memang pada awalnya saya rasa kurang yakin sama ada ia mampu diterima baik atau tidak. Tetapi, saya yakin tidak salah untuk mencuba pembaharuan ataupun bereksperimen.

"Saya pun sentiasa ingin cuba perkara berbeza dan hakikatnya semua hal baharu, kalau boleh. Saya tak nak dilabel terperuk dalam satu kepompong saja," katanya.

Dalam pada itu, Azzam yang juga tunang penyanyi Sheryl Shazwanie sudah ada perancangan untuk tampil lagu duet bersama. Apa pun, dia mahu memfokuskan kepada karya solo buat masa ini.

"Memang kami mahu penuhi permintaan peminat untuk melancarkan lagu duet nanti. Namun, sekarang saya nak bagi laluan untuk lagu Baby Bambam diterima terlebih dulu.

"Setakat ini memang memberangsangkan sangat maklum balas yang saya terima untuk lagu Baby Bambam. Semoga ia akan terus mendapat sambutan hebat dan memikat ramai orang," katanya.

Bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi, Azzam juga memaklumkan sudah membuat persiapan sebanyak 80 peratus menjelang hari bahagianya dengan Sheryl. Butiran lanjut hanya dikongsikan apabila tepat waktunya.

"Yang pasti, kami akan bernikah pada awal tahun depan jika tiada aral melintang. Apabila semua urusan sudah muktamad, insya-Allah saya pasti akan berkongsi mengenai butiran majlis kami itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 6:00 AM