JIA Yan (kiri) tidak mahu mensiakan-siakan peluang keemasan itu.
JIA Yan (kiri) tidak mahu mensiakan-siakan peluang keemasan itu.
Najiy Jefri


Bakal mewakili negara dalam pertandingan ratu cantik, Miss International Global 2019 World Final pada 24 Ogos depan, Yap Jia Yan tidak mahu mensiakan-siakan peluang keemasan itu.

Bakal bertanding dengan 35 peserta dari negara seluruh dunia yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Jia Yan berharap kemenangan akan berpihak kepadanya dalam pertandingan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Selangor itu.

Jia Yan berkata, dia kini sedang dalam mempersiapkan diri untuk memastikan kelancaran pada hari penuh bersejarah itu.

“Satu tanggungjawab besar untuk digalas kerana saya antara wanita yang bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan itu nanti.

“Banyak persiapan sudah saya lakukan antaranya bersenam di gimnasium. Bagi saya, menyertai pertandingan ratu cantik bukan sekadar perlu luaran yang cantik, tetapi perlu mempunyai ilmu dan bakat yang luar biasa.

“Saya juga nak membuktikan kepada wanita yang kejayaan seseorang itu tiada batasan. Kita boleh buktikan diri kita hebat,” katanya.

Menurut Jia Yan, walaupun ibu bapanya tidak tahu apa yang dilakukannya ketika ini, dia cuba meyakinkan karier ini bukan sebuah pentas mainan.

“Saya berasal dari Kluang, Johor. Ibu bapa saya tidak pandai membaca tetapi saya menjadikan mereka sebagai idola dan pembakar semangat untuk berjaya.

“Walaupun tiada latar belakang akademik, mereka cuba memberikan pendidikan terbaik dengan menghantar saya ke universiti swasta dan akhirnya berjaya memperoleh ijazah kelas pertama.

“Bagi saya, tiada yang mustahil dalam hidup membuatkan saya nekad untuk menyertai bidang peragaan ini sejak tahun lalu,” katanya.

Menurut Jia Yan, menerusi platform terbabit dia juga mahu menceburi bidang hiburan sebagai karier baru yang boleh diintai.

“Saya mahu menjadi jurucakap global yang menyampaikan kebenaran, keadilan, mempromosikan kebebasan bersuara, menunjukkan kebaikan serta berkongsi keindahan dan kehidupan dunia.

“Di samping itu juga, saya mahu mencuba nasib dalam mengintai peluang menceburi bidang hiburan sebagai kerjaya baharu,” katanya.

Sementara itu, penganjur Miss International Global 2019 World Final, Jonathan berkata, pihaknya teruja apabila acara berprestij itu bakal berlangsung di Malaysia buat julung kalinya.

Menurut Jonathan, semua 35 peserta ratu cantik yang mewakili negara di seluruh dunia bakal melakukan beberapa cabaran penting sebelum dinobatkan sebagai ratu cantik Miss International Global 2019 World Final.

“Antara cabaran utama adalah cabaran keusahawanan apabila peserta dari setiap negara akan diberikan produk dan membentangkan idea serta pengalaman masing-masing.

“Satu lagi cabaran yang menarik adalah Fashion Sense Challenge. Pihak kami bekerjasama dengan 10 pereka fesyen tempatan untuk cabaran ini.

Jonathan berkata, dia berharap acara gilang-gemilang itu akan mendapat sambutan luar biasa selain dapat memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

Turut hadir pada sidang media terbabit adalah Konsultan Rasmi Jenama Miss International Global, Olivia.

Caption

1. JIA Yan (kiri) bersama wakil penganjur, Jonathan (tengah).

2. JONATHAN mahu perkenalkan Malaysia ke mata dunia menerusi pertandingan Ratu Cantik.

3. JIA Yan mahu buktikan dia mampu muncul sebagai pemenang.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 6:00 AM