DUA watak yang dikagumi.
DUA watak yang dikagumi.
Ardini Sophia Sina

GELOMBANG Avengers: Endgame mungkin sudah berakhir. Namun, peminat filem adiwira khususnya mereka yang mengikuti perjalanan kisah X-Men kini teruja dan tidak sabar-sabar menanti tayangan filem itu di pawagam.

Malahan, tarikh tayangan pada 6 Jun iaitu bersamaan 2 Syawal tentu memudahkan peminat filem francais itu menonton karya kegemaran mereka itu.

X-Men: Dark Phoenix adalah rangkaian terakhir dalam siri utama kisah X-Men. Sekuel baharu itu ditulis dan diarah oleh Simon Kinberg membabitkan bintang popular terutama James McAvoy, Michael Fassbender, Nicholas Hoult, Jennifer Lawrence dan Sophie Turner sebagai Jean Grey atau Dark Phoenix.

Kisah bermula apabila Jean menyertai misi menyelamat di angkasa lepas. Bagaimanapun, malang tidak berbau apabila dia nyaris terkorban selepas dilanggar tenaga kosmik.

Akibat kejadian itu, Jean memperoleh tenaga luar biasa menjadikan dia manusia mutan paling kuat di dunia. Namun, kuasa yang dimilikinya tidak stabil dan Jean sendiri sukar mengawalnya.

SOPHIE Turner sebagai Jean Grey.
SOPHIE Turner sebagai Jean Grey.

Adiwira X-Men kemudian berganding bahu tidak hanya untuk menyelamatkan Jean, juga melindungi bumi daripada musnah diserang makhluk asing.

Melakonkan watak adiwira yang mempunyai kuasa telekinetik dan telepati, kata Sophie, menerusi sekuel kali ini penonton dapat lihat Jean akhirnya menerima kuasa yang ada pada dirinya.

“Kali ini Jean menggunakan kuasanya 100 peratus, tidak seperti sebelum ini dia berusaha mengawal tenaga itu dan masih punya rasa belas kasihan dan empati.

“Perwatakan Jean dalam filem kali ini sudah berubah. Dia dikuasai emosi hitam yang selama ini terpendam jauh di sudut hatinya. Kekuatan yang dimilikinya dipengaruhi oleh perasaan itu,” katanya.

Kalau sesiapa sahaja membuat carian mengenai X-Men: Dark Phoenix menerusi YouTube, ‘teaser’ berkenaan jelas menunjukkan kuasa Jean tiada tolok bandingnya.

Sama juga ketika menonton pertarungan Avengers dan Thanos, penonton tentu tertanya-tanya, bagaimanakah X-Men menumpaskan Jean sedangkan kekuatannya sangat hebat.

KUASA diperoleh selepas misi menyelamat di angkasa.
KUASA diperoleh selepas misi menyelamat di angkasa.

Apapun, persoalan inilah yang mengujakan peminat X-Men. Semuanya sudah tidak sabar-sabar menonton kesatuan anggota X-Men hingga sanggup bergadai nyawa menyelamatkan rakan mereka.

“Untuk soalan ini, silalah ke pawagam menonton jalan cerita serta lihat sendiri kekuatan dimiliki Jean. Saya pasti, semangat setiakawan yang dipaparkan akan menyentuh perasaan ramai.

“Saya tidak tahu sama ada peminat X-Men akan berpuas hati atau sebaliknya. Namun, sudah tentulah saya mengharapkan yang terbaik. Bukan saya sahaja, semua kru mengharapkan perkara sama,” kata Sophie.

Selain Jean Grey, karakter yang turut menarik perhatian ialah Mystique, lakonan Jennifer Lawrence. Dia memiliki kuasa luar biasa yang mampu menyerupai sesiapa saja.

Kelebihan dimilikinya itu antara kuasa yang disebut-sebut ingin dimiliki oleh peminat siri filem berkenaan. Ia dianggap sebagai satu kelebihan yang mampu menewaskan adiwira lain.

MELAYAN emosi diri.
MELAYAN emosi diri.

Menjadi idola segelintir individu dan watak yang dinantikan ramai dalam filem X-Men, Jennifer bagaimanapun berkata, dia melupakan perkara itu ketika menjadi Msytique agar tidak terbeban.

“Saya tahu Mystique banyak peminat dan antara watak mendapat perhatian ramai. Peminat tentu ternanti-nanti kemunculan Mystique dan ia pasti membebankan.

“Saya ingin berikan yang terbaik. Saya berusaha mempersembahkan lakonan meyakinkan. Oleh itu, sepanjang penggambaran, saya lupakan dunia luar dan hanya fokus terhadap lakonan.

“Saya tidak mahu lakonan saya dipengaruhi oleh harapan dan jangkaan orang ramai. Saya hanya ingin jadi diri sendiri dan bawakan watak ini tanpa apa-apa pengaruh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 7:00 AM