HAFIZ kini lebih banyak bekerja belakang tabir berbanding rakam lagu sendiri.
HAFIZ kini lebih banyak bekerja belakang tabir berbanding rakam lagu sendiri.
Amirul Haswendy Ashari


PENYANYI dan komposer, Hafiz Hamidun kini lebih banyak melakukan kerja belakang tabir berbanding rakaman lagu sendiri.

Hafiz berkata, sehingga hujung tahun ini, dia banyak terbabit program di luar dan bukan di studio rakaman merakamkan lagu sendiri.

“Saya baru siapkan lagu untuk Wani Hasrita dan Wani Syaz selain baru selesai projek rakaman single untuk Erra Fazira dan Ifa Raziah.

“Selain itu, saya juga baru menerbitkan lagu artis baharu daripada syarikat rakaman saya yang dikhususkan untuk golongan BBNU (Budak Baru Nak Up),” katanya.

Menurut Hafiz, artis pertamanya ialah Muaz, 18, yang kini bernaung di bawah label Strumhit di bawah syarikat rakaman miliknya, Arteffects.

Katanya, single pertama Muaz berjudul Lima Minit diterbitkan Alif Sleeq dan dilancarkan pada 26 April lalu.

“Selain menyanyi, artis di bawah label ini perlu boleh bermain muzik. Lagipun, Muaz juga boleh menari. Dia artis pertama di bawah label saya yang baru ini,” katanya.

Selain itu, Hafiz turut ditegur mengenai fizikalnya yang agak ‘sihat’ berbanding dulu yang sedikit kurus.

“Ramai juga yang tegur. Mungkin sebab fasa ‘pening kepala’ dulu sudah habis, jadi sebab itu kembali berisi,” katanya berseloroh.

Hafiz yang pernah berkahwin dengan usahawan kosmetik tahun lalu menafikan perubahan dialaminya itu kerana sudah berjumpa pengganti mengisi ruang hati.

“Tak adalah kembali bercinta, cuma kini dalam proses memilih. Memilih masa dan orang yang betul. Pemilihan itu kena terperinci sikit kali ini. Tapi, tidak terburu-buru atau tergesa-gesa sangat nak kahwin,” katanya.

Hafiz akui selepas pengalaman dilalui lalu, dia mahu mencari isteri yang betul-betul serius mahu berkahwin dengannya.

Baginya, seorang isteri untuknya perlu memahami diri dan kerjanya. Selain itu, dia ialah wanita yang boleh membahagiakan dan menyenangkannya.

“Saya rasa itu lebih bagus berbanding kita ini asyik mengimpikan isteri seperti itu dan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 5:30 AM