Najiy Jefri


PELAKON popular Nelydia Senrose, 24, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, 35, dengan sekali lafaz pada jam 3.28 petang hari ini.

Dalam majlis yang berlangsung secara tertutup di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur itu, mereka dinikahkan bapa Nelydia, Nik Sen Mat Rifin dan disaksikan Imam Masjid Jamek Kampung Baru, Azizi Abd Hamid.

Sebelum itu, pasangan ini melangsungkan pertunangan sebagai syarat sebelum meneruskan upacara ijab kabul di depan lebih 200 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga dan rakan rapat.

Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin sebanyak RM10,000 bersama sembilan dulang hantaran dan dibalas 11. Bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan.

NELYDIA anggun mengenakan persalinan rona putih gading rekaan Ezuwan Ismail.
NELYDIA anggun mengenakan persalinan rona putih gading rekaan Ezuwan Ismail.

Anggun mengenakan persalinan rona putih gading rekaan Ezuwan Ismail, Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia bersyukur kerana segala yang dirancang dalam tempoh singkat sejak awal tahun ini berjalan lancar.

“Alhamdulillah impian, niat serta hajat yang saya harapkan selama ini dipermudahkan. Doa saya di Makkah serta apa yang dihajati juga Allah makbulkan serta beri jawapan pasti termasuk hal jodoh. Semoga permulaan fasa ini akan terus mematangkan kami. Insya-Allah,” katanya.

Berkongsi bibit perkenalan, pasangan ini bertemu buat kali pertama pada 6 April 2017. Bagaimanapun ketika itu, tiada apa yang berlaku. Seterusnya selepas sekian lama hubungan sepi begitu saja, mereka sekali lagi bersua hujung tahun yang sama.

Ketika hubungan itu terus mekar, Hafez berlepas ke Amsterdam, Belanda untuk memberi kejutan sekali gus melamar Nelydia pada April tahun lalu.

Ketika itu pelakon yang juga adik kepada Uqasha Senrose ini sedang bercuti di Eropah.

“Selepas memutuskan untuk membawa hubungan kami ke fasa seterusnya, saya bawa dia berjumpa dengan bapa untuk meminta restu selain keluarga yang lain.

“Memang asalnya rancangan perkahwinan ini mahu dibuat tahun lalu, tetapi ada saja kekangan. Di sebalik ujian dan halangan sebelum ini, kami berjaya melaluinya sebaik mungkin. Sekembali dari umrah pada 5 Januari lalu, kami putuskan untuk ke gerbang perkahwinan dan memulakan persiapan,” katanya.

NELYDIA menyifatkan suaminya seorang yang melengkapi dan menenangkan hati.
NELYDIA menyifatkan suaminya seorang yang melengkapi dan menenangkan hati.

Ditanya mengenai Hafez, Nelydia menyifatkan suaminya seorang yang melengkapi dan menenangkan hati.

Malam esok pasangan ini akan diraikan dalam majlis resepsi di hotel yang sama.

Pada majlis itu, Nelydia akan mengenakan rekaan Alia Bastamam, manakala Hafez dengan busana rekaan Ezuwan Ismail. Untuk majlis potong kek, kedua-duanya bakal menggayakan rekaan Rizman Ruzaini. Dalam pada itu, sebuah majlis keraian bakal diadakan di Kelantan pada Aidilfitri nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 4:39 PM