NOURUL Depp bersyukur kerana kandungannya selamat dan tidak ditahan di wad. FOTO Instagram Nourul Depp
NOURUL Depp bersyukur kerana kandungannya selamat dan tidak ditahan di wad. FOTO Instagram Nourul Depp
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Nourul Depp, 42, yang kini hamil lapan bulan terjatuh di bilik air rumahnya semalam.

Bagaimanapun, Nourul ketika dihubungi mengesahkan bayi dalam kandungannya selamat dan dia juga berada dalam keadaan baik.

"Alhamdulillah, selepas kejadian itu saya terus ke hospital menjalani pemeriksaan kerana takut apa-apa berlaku kepada bayi. Namun, doktor mengesahkan semuanya dalam keadaan baik.

"Kerana saya dan kandungan dalam keadaan baik, doktor tidak menahan saya di wad," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya bagaimana insiden itu berlaku, Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab memberitahu bahawa dia terlalu banyak berfikir sehingga leka.

"Biasalah. Bila dah masuk ke trimester ketiga kehamilan, hormon pun dah berubah. Saya banyak berfikir pada ketika itu mengenai perniagaan dan sebagainya.

"Jadi, waktu melangkah keluar dari bilik air, saya tersadung di bendul menyebabkan terjatuh. Mujurlah saya jatuh dengan paha di bawah. Kalau perut yang ke lantai, tak tahulah apa akan jadi," katanya.

Ketika kejadian jam 9.40 malam tadi itu, suaminya berada di India atas urusan perniagaan.

"Saya terus hubungi suami untuk memaklumkannya. Anak pun dah tidur pada waktu itu. Mujurlah pembantu rumah ada," katanya.

Nourul dijangka melahirkan cahaya mata ketiganya hasil perkahwinan dengan Eric Daniel Depp itu pada 10 Mei depan.

"Tapi, jika dilihat dari keadaan kandungan saya, tak mustahil kalau bersalin lebih awal. Jadi, sekarang pun saya dah banyak buat persiapan untuk bayi dan sediakan barang yang perlu dibawa ke hospital," katanya.

Pasangan itu sebelum ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Zachary Depp dan Raphael Depp.

Nourul juga mempunyai anak perempuan, Ayu Nazirah hasil perkahwinan pertamanya dengan penyanyi dan komposer, Ajai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 4:37 PM