KIM Kardashian.
KIM Kardashian.
Sudirman Mohd Tahir

SETIAP pasangan yang berkahwin pastinya mendambakan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga mereka.

Namun, bukan semua bertuah diberikan rezeki itu. Ada yang terpaksa menunggu bertahun lamanya malah tidak kurang juga menggunakan pelbagai kaedah rawatan kesuburan untuk hamil.

Pada masa sama, ada juga pasangan yang mengambil keputusan menggunakan ibu tumpang untuk merealisasikan impian mereka bergelar ibu bapa.

Di Hollywood misalnya, ramai pasangan selebriti berbuat demikian. Memiliki zuriat hasil kaedah ibu tumpang memberikan sinar baru dalam kehidupan mereka.

BLING! minggu ini menyenaraikan 10 selebriti Hollywood yang mendapat cahaya mata menerusi ibu tumpang.

Andy Cohen

Pengacara dan penerbit siri televisyen Real House­wives, Andy Cohen mendedahkan dia menggunakan ibu tumpang untuk mendapatkan anak lelaki yang lahir, baru-baru ini.

Cohen berkongsi perkara itu menerusi rancangan Watch What Happens Live With Andy Cohen pada Disember lalu. Kehadiran bayi lelaki itu membuatkan kehidupan Cohen semakin bahagia. Selain kerjaya, bayi itu kini menjadi keutamaannya.

Gabrielle Union dan Dwyane Wade

Pasangan selebriti Gabrielle Union dan Dwyane Wade mengejutkan peminat apabila mendedahkan anak perempuan mereka yang dilahirkan pada 7 November lalu sebenarnya diperoleh menerusi ibu tumpang.

Berita gembira itu dikongsi menerusi laman Instagram berserta status Welcome to the party sweet girl! #onelastdance #skintoskin.

Pasangan itu berkahwin pada Ogos 2014 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Kim Kardashian dan Kanye West

Pasangan selebriti popular Kim Kardashian dan Kanye West menyambut anak ketiga mereka iaitu bayi perempuan melalui kaedah ibu tumpang pada 15 Januari 2018.

Pasangan itu memutuskan untuk menggunakan kaedah itu selepas Kim ada masalah kesihatan yang menyukarkannya hamil.

Terdahulu, pasangan itu dikurniakan dua zuriat iaitu North, 5, dan Saint, 3.

Kehadiran bayi yang diberi nama Chicago itu menyerikan lagi hidup pasangan itu malah diterima baik North dan Saint.

Nicole Kidman dan Keith Urban

Bintang filem terkenal Nicole Kidman dan suami, Keith Urban antara pasangan yang turut menggunakan kaedah ibu tumpang. Mereka yang dikurniakan anak perempuan, Faith Margaret pada Disember 2010 menyifatkan wanita yang me­ngandungkan anak mereka seorang yang hebat.

Sebelum kehadiran Faith Margaret, pasangan ini sudah ada anak perempuan iaitu Sunday Rose Kidman Urban yang dilahirkan pada Julai 2008.

Terdahulu, Nicole pernah berkahwin dengan aktor Tom Cruise dan mengambil dua anak angkat iaitu Connor Cruise dan Isabella Jane Cruise.

Jimmy Fallon dan Nancy Juvonen

Pengacara program bual bicara terkenal ini dan isterinya memiliki dua anak perempuan yang menggunakan kaedah ibu tumpang.

Anak sulung mereka, Winnie dilahirkan pada 2013 dan setahun kemudian hadir pula Frances yang meleng­kapi kebahagiaan rumah tangga pasangan ini.

Amy Smart dan Carter Oosterhouse

Pasangan selebriti ini berkongsi khabar gembira di Instagram mengenai kelahiran bayi perempuan mereka, Flora pada 26 Disember 2017. Perkara itu didedahkan sebulan selepas bayi itu dilahirkan.

Menerusi status itu, pasangan ini berterima kasih kepada wanita yang sudi menjadi ibu tumpang bayi kesayangan mereka.

Lucy Liu

Bintang filem Charlie’s Angels, Lucy Liu memperkenalkan anak lelakinya, Rockwell Lloyd Liu yang dilahirkan menerusi kaedah ibu tumpang pada Ogos 2015.

Kehadiran bayi comel itu cukup bermakna buat Lucy. Malah, dia dilihat sangat menyayangi anaknya itu dan memenuhi tanggungjawab­nya sebagai ibu dengan baik.

Tyra Banks

Model dan pengacara terkenal Tyra Banks berkongsi kegembiraan memiliki cahaya mata yang diberi nama York menerusi kaedah ibu tumpang pada Januari 2016.

Tyra menerusi perkongsian itu merakamkan ucapan terima kasih kepada wanita yang dianggap ‘malaikat’ kerana melahirkan zuriat untuknya.

Giuliana dan Bill Rancic

Selepas mengalami keguguran dan gagal mendapatkan zuriat menerusi kaedah IVF, pasangan ini mengambil keputusan untuk menggunakan kaedah ibu tumpang.

Pasangan itu menyambut kelahiran anak lelaki yang diberi nama Duke pada Ogos 2012.

Elizabeth Banks dan Max Handelman

Pelakon filem Hunger Games dan suaminya menyambut kelahiran dua anak mereka, Magnus dan Felix menerusi kaedah ibu tumpang. Elizabeth berkongsi mengenai keputusannya itu pada Februari 2012 menerusi temu bual sebuah majalah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 9:30 AM