KEHADIRAN si comel sangat didambakan pasangan yang tidak mempunyai anak.
KEHADIRAN si comel sangat didambakan pasangan yang tidak mempunyai anak.
SEORANG ibu tumpang merenung jauh mengenangkan masa depan keluarganya.
SEORANG ibu tumpang merenung jauh mengenangkan masa depan keluarganya.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Mengandung adalah hak istimewa wanita. Ia adalah satu anugerah walaupun ada juga wanita yang berasakan tempoh sembilan bulan itu seperti satu seksaan terutama bagi kehamilan yang tidak dikehendaki.

Namun bagi sesetengah wanita di India, mengandung adalah satu ‘kerjaya’ yang sangat lumayan. Menawarkan diri menjadi ibu tumpang adalah satu-satunya tiket yang membolehkan mereka keluar daripada belenggu kemiskinan, menyekolahkan anak-anak dan membina rumah yang lebih baik.

Di sebuah asrama yang menempatkan berbelas wanita hamil, Sharmila Mackwan masih menimbangkan keputusannya mengandungkan anak kembar untuk pelanggannya.

Sepanjang sembilan bulan itu, dia terpaksa meninggalkan anak-anaknya di rumah anak yatim kerana kontraknya mengkehendaki dia tinggal di asrama berkenaan yang berhampiran hospital di Gujarat bagi memudahkan ibu tumpang sepertinya melahirkan anak.

Dia juga tahu, bayaran 40,000 rupee (RM25,138) yang bakal diterima selepas selamat melahirkan anak kembar itu akan mengubah nasib keluarganya.

Namun dia gusar apabila kerajaan India mengumumkan mahu menamatkan industri ‘menyewakan rahim’ yang bernilai berbilion dolar di negara itu. Langkah itu diambil kerana kerajaan bimbang ada wanita menjadi mangsa eksploitasi.

“Wanita ibu tumpang perlu tinggal di asrama. Itu syaratnya. Tanpa pekerjaan ini, saya tidak mungkin dapat menyimpan wang sebanyak itu walaupun bekerja membanting tulang sepanjang hayat,” kata Sharmila yang bercadang menggunakan wang berkenaan untuk menyekolahkan dua anaknya dan membina rumah kecil untuk mereka sekeluarga.

“Saya bimbang juga apabila mengetahui saya mengandung anak kembar. Namun apa yang boleh saya lakukan? Saya berharap dan berdoa Tuhan akan menjaga saya,” kata ibu tunggal berusia 31 tahun itu sambil duduk di dalam bilik asrama. Dia berkongsi bilik berkenaan dengan 60 wanita lain.

Di asrama itu, Sharmila boleh berehat secukupnya. Malah, makan dan minum serta kesihatannya sepanjang kehamilan dipantau. Arahan tinggal di asrama itu juga secara tidak langsung memberi perlindungan kepada wanita penyewa rahim daripada pandangan negatif masyarakat.

“Suami saya kaki mabuk. Dia membunuh diri sebelum saya melahirkan anak kedua. Selepas kematiannya, keluarga suami menghalau kami anak beranak dan saya tiada tempat hendak mengadu,” kata Sharmila yang sebelum ini melakukan pelbagai pekerjaan dengan upah sangat rendah.

Sharmila yang kini hamil lima bulan adalah antara 2,000 wanita miskin yang memperoleh pendapatan lumayan setiap tahun dengan menyewakan rahim mereka (menjadi ibu tumpang).

Selepas menawarkan khidmat ibu tumpang pada 2002, India menjadi peneraju dalam industri berbilion dolar itu dan ratusan pasangan dari luar negara datang ke situ untuk mendapatkan anak pada harga murah dan prosesnya pula selamat.

Namun sejak empat tahun lalu, India mula mengetatkan undang-undang dengan tidak membenarkan pasangan gay dan bujang mendapatkan khidmat sewa rahim itu. Bagaimanapun, pada November lalu, pihak berkuasa mengarahkan semua klinik ibu tumpang untuk berhenti menerima permohonan pelanggan dari luar negara.

Syarat lebih ketat

Lebih 2,000 klinik di India mengenakan caj RM83,700 hingga RM125,800 - harga yang jauh lebih rendah daripada yang perlu dibayar di Amerika Syarikat atau negara Barat selain menawarkan teknologi moden, doktor berkemahiran dan ibu tumpang.

“Banyak pasangan yang tidak mempunyai anak menyalahgunakan rahim wanita miskin. Perkara ini amat membimbangkan kerana ada kes di mana bayi perempuan atau cacat diabaikan atau ditinggalkan selepas dilahirkan,” kata Menteri Luar Negeri Sushma Swaraj.

Draf undang-undang yang menunggu kelulusan Parlimen itu, bagaimanapun menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk dan keluarga yang mengimpikan anak khususnya membabitkan etika dalam ‘menyewa’ badan wanita.

Pakar kesuburan di sebuah klinik kesuburan di bandar Anand di Gujarat, Nayana Patel memberitahu larangan berkenaan boleh memberi kesan buruk sedangkan kerajaan sepatutnya membuat pemantauan yang lebih baik.

“Apa saja yang dilarang akan tetap dilakukan secara haram. Orang akan mencari kaedah untuk meneruskan industri ini yang boleh membuatkan keadaan bertambah buruk,” kata Patel yang sudah membantu melahirkan 1,124 bayi sepanjang perkhidmatannya di Hospital Akanksha.

Patel berkata, larangan itu juga secara tidak langsung menafikan peluang kewangan sekali seumur hidup bagi wanita memperbaiki kehidupan mereka.

“Wanita ibu tumpang ini tidak melakukan perkara yang tidak bermoral. Dia tidak meruntuhkan rumah tangga orang lain, sebaliknya membantu mereka membina keluarga. Malangnya mereka ini dituduh menjual rahim,” katanya kepada wartawan AFP.

Pakar kesihatan berkata kebanyakan wanita yang memilih menjadi ibu tumpang tidak mempunyai perlindungan asas contohnya insurans perubatan sekiranya berlaku sesuatu sepanjang tempoh kehamilan itu.

Bahkan ada laporan mengatakan wanita yang buta huruf dipaksa menandatangani kontrak tanpa mengetahui isi kandungannya.

Menurut pensyarah di Institut Kesihatan Awam India di New Delhi, Sutapa B Neogi, dalam kebanyakan kes tanpa disedari rahim wanita ibu tumpang disuntik (dimasukkan) beberapa telur yang tersenyawa bagi meningkatkan peluang kehamilan. Jika berlaku kehamilan berganda (lebih daripada satu), proses pengguguran akan dijalankan.

“Setiap pengguguran ada risiko dan ia akan menyebabkan trauma psikologi pada ibu tumpang,” katanya.

“Di bawah undang-undang baru ini, hanya pasangan berkahwin warga India yang dibenarkan mendapat khidmat ibu tumpang dengan syarat ‘menggunakan’ rahim saudara terdekat tanpa bayaran,” kata Swaraj.

Namun keputusan kerajaan itu mendapat kritikan terutama dari kalangan ibu tumpang.

Jagruti Bhoi, 26, yang turut mewarnai industri itu berkata, kerajaan tidak faham kesukaran dialami wanita miskin yang terpaksa menjadi ketua keluarga sepertinya.

“Bagi menteri yang duduk dalam bilik pejabat selesa, membuat keputusan itu memang mudah. Tetapi, mereka tidak melalui kesukaran yang kami hadapi. Apa yang kami lakukan hanyalah untuk membantu keluarga dan pasangan yang sudah lama mengidam mempunyai anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 5:04 AM