Sasqia anggap Asyraff matang biarpun lima tahun lebih muda. FOTO HM Digital
Sasqia anggap Asyraff matang biarpun lima tahun lebih muda. FOTO HM Digital
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Sasqia Dahuri, 33, mengakui bakal suaminya, Muhammad Asyraff Khan, 28, seorang yang matang walaupun jejaka itu muda lebih lima tahun daripadanya.

Sasqia atau nama sebenarnya Nurlisasqia Ahmad Dahuri berkata, Asyraff yang juga seorang ahli perniagaan hartanah dari Singapura sentiasa bersikap positif dalam apa juga perkara.

"Bagi saya, jarak usia bukan satu masalah. Sepanjang berkawan dengannya, saya selesa dan dia sangat okay. Pendek kata dia sangat matang dalam segala hal.

"Kalau bergaduh pun, saya yang selalu cari pasal dulu. Dia pula takkan layan perkara negatif. Jadi, saya sendiri yang akan 'tone down' hingga malu dengan diri sendiri," katanya.

Sasqia yang popular menerusi drama Lara Aishah berkata, dalam tempoh setahun hubungan yang terjalin, mereka terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Singapura.

"Kami bercinta sejak Ogos tahun lalu. Tiga bulan selepas itu, dia menghantar rombongan merisik sebelum mengambil keputusan untuk bertunang awal tahun ini.

“Pertama kali ‘dating’, dia terus bawa saya berjumpa keluarganya. Bagi saya, dia seorang 'gentleman' dan saya nampak kesungguhannya dalam perhubungan kami. Malah, cara dia melamar saya pun sangat rapi. Dia merancang dengan baik.

“Namun, memandangkan dia menetap di sana jadi saya kena ke sana jika ingin bertemunya. Begitu juga sebaliknya. Saya pula tak boleh nak suruh pindah sini sebab dia ada perniagaan yang bagus di sana. Dalam masa sama, saya juga ada kerjaya di sini. Jadi, kami kena saling memahami," katanya.

Berkongsi mengenai majlis pernikahan yang bakal berlangsung Sabtu ini, Sasqia mengakui belum berasa berdebar kerana masih terikat dengan penggambaran.

"Alhamdulillah, segala persiapan sudah siap. Saya berdoa semoga kedua-dua majlis berjalan lancar.

"Saya juga berasa gembira apabila Puteri Brunei iaitu Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Siti Radhiah Pengiran Maharaja Lela Sahibul akan turun. Dia adalah rakan baik saya. Buat masa sekarang, saya masih menunggu atur cara protokol daripada pihaknya," katanya.

Majlis persandingan akan diadakan Ahad ini di Kuala Lumpur dan majlis sebelah pihak lelaki pada 29 Disember di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 3:24 PM