WARIS dan anak keduanya. FOTO Instagram Waris
WARIS dan anak keduanya. FOTO Instagram Waris
Syafil Syazwan Jefri


SELEPAS sebulan cahaya mata keduanya dilahirkan, penyanyi rap, Waris, 29, memberitahu dia dan isterinya, Izzati Amirah Kamaruddin mula merasakan cabaran sebenar sebagai ibu bapa.

“Bila dah ada dua anak, pengalaman dan cabarannya sangat berbeza dan sejujurnya, saya dan isteri dah mula merasakan cabaran besar itu,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Waris atau nama sebenarnya Muzzammil Alias, dia dan isteri terpaksa membahagikan masa sebaik mungkin kerana anak pertama dan anak keduanya punya pola waktu tidur yang berbeza.

“Anak sulung kami, Mudassir yang kini berusia dua tahun, seperti anak-anak lain yang tidur di sebelah malam. Adiknya pula, Tihani Izz Nina, jenis berjaga di sebelah malam.

“Jadi, saya dan isteri memilih untuk membuat pembahagian tugas, siapa yang perlu berjaga di sebelah malam,” katanya.

Waris juga bersyukur kerana ibu bapa serta keluarga mentuanya memberikan bantuan.

“Walaupun nampak berat, tapi itulah pengalaman manis sebagai ibu bapa yang saya dan isteri akan ingat sampai bila-bila.

“Terima kasih kepada keluarga kami yang sentiasa memberikan bantuan dan sama-sama menjaga anak-anak,” katanya.

Tihani yang kini sudah hampir berusia dua bulan dilahirkan pada 2 Ogos lalu, yang berkongsi tarikh dengan hari ulang tahun perkahwinan Waris dan isteri.

Terbaru, Waris berkolaborasi dengan Sophia Liana dan Zizi Kirana dan hadir dengan lagu terbaru, Terbaik Bossku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 3:10 PM